MCMC kaji ‘langkah undang-undang’ kawal aplikasi janji temu sejenis

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengkaji langkah undang-undang bagi menangani kebimbangan berkaitan penggunaan aplikasi janji temu sejenis.

Kementerian Komunikasi berkata, setakat ini MCMC belum menerima sebarang permintaan mengeluarkan Grindr, Blued dan Growlr daripada gedung aplikasi namun telah menyekat laman web Grindr dan Blued.

“Bagaimanapun, MCMC kini sedang meneliti beberapa langkah undang-undang untuk membendung aplikasi ini,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap).

Nurul Amin bertanya sama ada MCMC telah bekerjasama dengan penyedia gedung aplikasi untuk menyekat muat turun aplikasi sedemikian.

Grindr, Blued dan Growlr digunakan secara meluas untuk janji temu sejenis dan rangkaian sosial.

Di beberapa negara termasuk China, Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, aplikasi itu telah dikeluarkan daripada gedung aplikasi rasmi atau disekat.

Kementerian Komunikasi berkata, kawalan terhadap aplikasi di platform seperti Google Play dan Apple App Store tertakluk kepada dasar ditetapkan oleh penyedia masing-masing, iaitu syarikat asing yang beroperasi di luar Malaysia.

“Namun, MCMC kekal komited untuk melakukan pemantauan secara proaktif bagi memastikan persekitaran internet tempatan bebas daripada kandungan yang melanggar undang-undang,” katanya.

“Jika mana-mana aplikasi termasuk aplikasi janji temu didapati digunakan untuk menyebarkan kandungan terlarang atau menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang, MCMC akan mengambil tindakan,” katanya.

Tindakan itu boleh merangkumi permintaan untuk menurunkan kandungan daripada platform, menyekat akses atau merujuk kes kepada agensi penguatkuasaan seperti polis untuk siasatan lanjut.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img