SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan gangguan perkhidmatan rangkaian 2G dan 4G yang dipercayai berpunca daripada kegiatan vandalism di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menurut suruhanjaya itu, pihaknya menerima laporan daripada CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) pada Sabtu lalu mengenai gangguan perkhidmatan kedua-dua rangkaian tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati, gangguan tersebut berpunca daripada aktiviti vandalisme dan kecurian ke atas sebuah menara komunikasi milik CelcomDigi di Bukit Pilah.
“Berikutan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut, gangguan turut menjejaskan 13 menara komunikasi lain serta hampir 1,668 pengguna daripada pelbagai syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi di sekitar kawasan Kuala Pilah.

“MCMC telah mengadakan lawatan tapak ke lokasi terjejas bersama pihak CelcomDigi dan mendapati beberapa peralatan komunikasi, termasuk peralatan seperti Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU) telah dicuri,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MCMC, kejadian itu turut mengakibatkan gangguan perkhidmatan di kawasan berhampiran serta menjejaskan operasi menara komunikasi lain.
Katanya, pihak CelcomDigi segera menjalankan kerja-kerja pemulihan dengan mengaktifkan semula menara komunikasi yang terjejas secara berperingkat.
“Kesemua 14 menara komunikasi itu kini telah kembali beroperasi dan mula menyediakan perkhidmatan kepada pengguna,” kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan dengan itu, MCMC meminta orang awam untuk memainkan peranan dengan melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar menara komunikasi.
MCMC tegasnya, tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan infrastruktur komunikasi.
“Perbuatan vandalisme terhadap kemudahan telekomunikasi adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi 2 dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima (5) tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” kata kenyataan itu.


