SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu berhubung kandungan disyaki menghina agama Islam yang dimuat naik menerusi platform media sosial Facebook.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, kandungan itu dikaitkan dengan penggunaan perkataan ‘lighad’ yang merujuk kepada Surah al-Hashr, ayat 18, ketika ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu.
“Kandungan tersebut didakwa mempersenda ayat suci al-Quran hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, MCMC telah mengambil rakaman percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan. Satu (1) unit telefon bimbit berserta esim turut disita untuk tujuan pemeriksaan forensik,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, MCMC menegaskan kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.




