SEORANG pemandu traktor maut selepas kenderaan yang dikendalikannya terbabas di lereng bukit di Teluk Bahang, Pulau Pinang hari ini ketika menjalankan kerja pertanian di atas bukit berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 1.45 petang.
Katanya, operasi itu melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dengan kekuatan seramai lima anggota.
“Traktor berkenaan terjatuh pada kedalaman 15 meter di lereng bukit berkenaan dan terdapat seorang lelaki tersepit.
“Komander Operasi berpakaian pelindung diri lengkap (PPE) melakukan’ size up’ untuk menjalankan kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata,mangsa ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi.
“Mangsa dikenal pasti berusia 49 tahun dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut. Kes diserah kepada polis, dan operasi tamat jam 3.11 petang,” katanya.


