Menangis rayu sudah beli tiket pulang, tetap dicekup Imigresen

SEORANG lelaki warga Bangladesh menangis teresak-esak sambil merayu supaya tidak ditahan dengan alasan sudah membeli tiket untuk pulang ke negaranya ketika Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menggempur empat premis perniagaan di Jalan Datuk Keramat, Georgetown, hari ini.

Bagaimanapun, rayuan lelaki terbabit tidak berjaya mengelakkan dirinya daripada ditahan selepas pemeriksaan mendapati terdapat percanggahan dalam keterangannya berhubung tujuan dia berada di premis berkenaan.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Syamsul Fitry Ahmad berkata, operasi yang bermula jam 9 pagi itu dijalankan hasil aduan awam dan risikan terhadap premis yang disyaki menggaji atau dikendalikan warga asing.

Menurutnya, seramai 35 individu diperiksa dengan 21 warga asing berusia antara 18 hingga 51 tahun ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Operasi ini menyasarkan premis perniagaan hasil aduan dan risikan yang dijalankan. Kami memeriksa empat premis dan menahan 21 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya selepas operasi itu, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan membabitkan 15 lelaki warga India, tiga lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki warga Myanmar.

Menurutnya, lelaki Bangladesh yang menangis itu mendakwa bekerja di sebuah hotel dan hanya singgah ke premis terbabit untuk membeli barangan.

“Bagaimanapun, berdasarkan siasatan awal terdapat beberapa percanggahan dalam keterangannya dan kami akan membuat semakan dengan pihak hotel bagi mengesahkan dakwaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, beberapa warga asing lain turut mendakwa hanya datang membeli-belah ketika operasi dijalankan, namun siasatan awal mendapati terdapat antara mereka dipercayai bekerja sebagai pembantu kedai.

Dalam operasi sama, sebuah kedai makan didapati ditinggalkan begitu sahaja apabila pekerjanya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa sehingga api dapur masih menyala dan makanan sedang dimasak.

Syamsul Fitry berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta memiliki dokumen pengenalan yang tidak diiktiraf.

“Pemeriksaan awal juga mendapati ada warga asing yang tinggal lebih masa sehingga tiga tahun selepas memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Beliau berkata, semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Jawi untuk siasatan lanjut, manakala lima saman saksi Borang 29 turut dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img