IBU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, mengakui keluarganya kini boleh membuat persiapan perkahwinan anaknya itu bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah dengan tenang.
Katanya, sebelum ini dia tiada semangat membuat persiapan perkahwinan itu kerana bimbangkan keputusan mahkamah tidak memihak kepada Ahli Parlimen Muar itu.
“Kita memang tak ada buat persiapan lagi sebab tunggu keputusan hari ini. Setiap kali orang tanya bila majlis (perkahwinan), saya takkan jawab. Saya hanya tunggu keputusan mahkamah hari ini. Jadi bila keputusan memihak kepada Syed Saddiq, hati saya gembira. Bayangkan kalau sesuatu yang negatif berlaku pada hari ini, bagaimana? Saya tak nak mengecewakan anak orang, berdosa,” katanya.
Bercakap kepada media selepas prosiding anaknya di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, Sharifah Mahani berkata, mereka kini boleh memulakan persiapan perkahwinan pasangan itu sepenuhnya, sebelum majlis pada penghujung tahun ini.
Beliau juga mengakui tidak dapat melelapkan mata dan hilang selera makan kerana terlalu memikirkan keputusan pada hari ini.
“Sekarang kita boleh ikat bunga telur. Sebelum ini memang tak ada ‘mood’ nak buat persiapan disebabkan (kes mahkamah) ini. Ini bukan kes setahun dua, ia sudah lama. Jadi biarlah kebahagiaan ini untuk mereka.
“Memang saya tak tidur, tak boleh makan juga. Orang kata kalau bercinta sampai tak mandi, tetapi ini lain pula ceritanya,” katanya.
Sebelum itu Syed Saddiq tidak menolak kemungkinan mempercepatkan majlis perkahwinannya dengan Bella Astillah yang sebelum ini dirancang berlangsung pada penghujung tahun ini.
Katanya, beliau kini boleh membuat persiapan perkahwinan dengan lebih tenang selepas dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan pendakwaan.
“Tipulah kalau saya kata tiada perancangan. Cuma sekarang, perancangannya jauh lebih tenang dan mungkin boleh dipercepatkan. Itulah antara perkara yang kami harap dapat diselesaikan sebelum hujung tahun.






