BEKAS Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk A Kadir Jasin menyifatkan penghinaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah sama seperti penghinaan terhadap pengundi Muar yang memilih wakil rakyat itu dalam pilihan raya.
Penulis blog terkenal itu turut menegaskan bahawa kedudukan seseorang ditentukan oleh Allah SWT, bukan pangkat atau keturunan.
“Syed Saddiq itu seorang muda Johor yang berjaya dan disanjungi ramai… Dia jadi Ahli Parlimen bukan kerana dilantik tetapi dipilih oleh pengundi Bandar Diraja Muar. Menghinanya samalah dengan menghina rakyat jelata yang memilihnya,” katanya seperti dilapor Scoop.
Dalam catatan panjang bertajuk Mengata Dulang Paku Serpih, Kadir mengimbas pengalaman zaman kanak-kanak menebang mengkuang di kampung dan mengaitkannya dengan analogi ular — ada yang disanjung kerana kedudukan tinggi tetapi hakikatnya tidak berbisa.
“Ada yang berpangkat besar, duduk di tempat tinggi, disanjung, dihormati dan digeruni. Tetapi dari segi kecerdikan, kebijaksanaan dan budi pekerti mungkin tidaklah sehebat mana,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan perlu dihormati, namun rakyat berhak memilih wakil mereka.
Wartawan veteran dan tokoh politik itu memetik ayat al-Quran bagi menegaskan bahawa kemuliaan seseorang bukan ditentukan oleh harta atau keturunan, tetapi tahap ketakwaan.
“Kita bukan lagi masyarakat berkasta. Surah Al-Hujurat ayat 13 menegaskan bahawa ukuran kemuliaan seseorang di sisi Allah, sama sekali bukan kerana kekayaan, keturunan, mahu pun bangsa, tetapi tahap ketakwaannya.
“Yang berada di tempat tinggi dengan keistimewaan undang-undang dan adat resam janganlah pandang hina dan buli yang totok macam sering ditonjolkan oleh filem Bollywood.”
“Jangan jadi dulang yang kata paku serpih, periuk yang kata belanga hitam,” sindirnya.






