‘’Mereka sangat kejam…kami diikat, ditutup mata, dikurung tiada makanan, tiada minuman’’ – Syafik

Kekejaman tentera Israel kepada semua aktivis yang ditahan semasa Misi Kemanusiaan Freedom Flotiklla Coalition (FFC) disifatkan pada tahap maksimum dan tidak tergambar di dalam fikiran manusia.

Wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil berkata, mereka diibarat manusia paling kejam di muka bumi selepas dua hari menjadi tahanan di Penjara Ketziot, Israel.

Tegasnya, ia terbukti apabila beliau dan aktivis lain dinafikan hak asasi, diperlakukan dengan kasar, malah dikurung tanpa makanan dan air sepanjang tempoh tahanan.

“Kami dinafikan makanan, air, malah layanan mereka sangat kejam. Dari imigresen, polis hingga petugas penjara semuanya kasar, tiada belas kasihan.

“Jujur saya katakan, orang Israel adalah manusia paling jahat yang pernah saya jumpa,” katanya laporAstro Awani ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Turkiye, pada Jumaat.

Syafik menceritakan detik cemas ketika ditahan tentera Israel selepas kapal FFC yang disertainya dirampas di perairan antarabangsa menuju ke Gaza pada Rabu (8 Oktober), ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Beliau berkata, sebaik komunikasi kapal terputus, helikopter tentera Israel mula berlegar di ruang udara sebelum pasukan itu mengarahkan semua aktivis dan kru membuang telefon serta barangan peribadi ke laut.

“Kami duduk berjam-jam tanpa makanan, tanpa navigasi, terkurung dalam kapal hampir 15 jam. Saya mengalami mabuk laut yang teruk dan dinafikan hak asasi, malah setiap detik terasa seperti penyeksaan,” ujarnya.

Syafik turut berkongsi pengalaman dibawa ke pelabuhan Ashdod dan kemudiannya ke penjara Israel, di mana beliau bersama aktivis lain diikat, ditutup mata, dan dikurung dalam keadaan sejuk tanpa akses ke tandas.

“Pengalaman pahit itu membuka mata terhadap penderitaan sebenar rakyat Gaza. Kalau kami yang ditahan dua malam pun dah terasa azabnya, saya tak dapat bayangkan bagaimana rakyat Gaza mampu bertahan bertahun-tahun di bawah kekejaman seperti ini,” jelasnya.

Beliau turut mengakui gagal menghantar mesej terakhir kepada keluarganya dan pasukan Astro AWANI di Malaysia sebelum ditahan, selepas sambungan internet kapal terputus sepenuhnya sejurus sebelum serangan.

“Saya cuma nak beritahu mak saya yang saya selamat, tapi tak sempat. Kami dikepung lebih 30 askar bersenjata penuh terlalu ramai untuk kami lawan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img