Brazil meneruskan rentetan kemenangan mereka kepada empat perlawanan selepas menumpaskan pasukan bintang Korea Selatan yang diketuai Heung-min Son dengan kemenangan 5-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung dalam hujan lebat di Seoul pada Jumaat.
Bintang muda Chelsea, Estevao, mencuri tumpuan dengan dua jaringan menakjubkan, manakala penyerang Real Madrid, Rodrygo, turut menjaringkan dua gol, mempamerkan kekuatan serangan Brazil di bawah bimbingan Carlo Ancelotti.
Pasukan pelawat membuka jaringan pada minit ke-14 apabila Bruno Guimaraes melakukan hantaran menembusi pertahanan Korea Selatan kepada Estevão, yang tenang menyempurnakan sepakan melepasi penjaga gol Jo Hyeon-woo. Casemiro sempat menjaringkan gol tidak lama kemudian tetapi dibatalkan kerana ofsaid. Namun begitu, Rodrygomenambah jaringan kedua Brazil dengan rembatan tepat ke penjuru kanan bawah pada minit ke-41.
Selepas rehat, kelemahan pertahanan Korea Selatan kembali menghantui mereka. Kesilapan Kim Min-jae memberikan peluang kepada Estevao di hadapan kotak penalti, dan penyerang berusia 18 tahun itu tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol keduanya. Beberapa minit kemudian, satu lagi kesilapan di barisan pertahanan membolehkan Rodrygo menjaringkan gol keempat Brazil dengan rembatan rendah yang hampir sama seperti gol pertamanya.
Vinicius Junior melengkapkan pesta gol Brazil lewat permainan apabila beliau melakukan larian pantas dari tengah padang sebelum menewaskan Jo Hyeon-woo dengan penyudah tenang, menutup persembahan hebat skuad Ancelotti itu.
Walaupun dikritik di peringkat kelab kebelakangan ini, Vinicius dan Casemiro mempamerkan aksi mantap. Vinícius mencipta tiga peluang gol — paling banyak dalam perlawanan — selain menjaringkan gol solo yang mengagumkan, manakala Casemiro menguasai bahagian tengah.
Kemenangan besar ini sekali lagi menegaskan kebangkitan Brazil menjelang aksi kelayakan Piala Dunia yang akan datang.



