
KETIDAKHADIRAN Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang atau Timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagi pertemuan ketua-ketua parti Perikatan Nasional (PN) di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi bukanlah satu kejutan, sebaliknya ia sudah dijangkakan.
Ia memandangkan sejak awal lagi, Pas dilihat tidak berpuashati dengan tindakan bekas Pengerusi PN itu menghantar surat menjemput ketua komponen mengadakan perbincangan sedangkan pada malam tadi sepatutnya diadakan Mesyuarat Tertinggi PN bagi memilih Pengerusi baharu.
Bagaimanapun Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri keberatan untuk meninggalkan kerusi Pengerusi PN walaupun beliau sendiri yang secara sukarela meletakkan jawatan berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.

Pelbagai taktikal dan teknikal digunakan untuk membolehkan Ahli Parlimen Pagoh berusia 78 tahun itu kembali menerajui PN. Bagaimanapun gerakan itu sudah terlambat kerana Pas bersetuju mengambil alih kerusi tersebut dan menjadikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr.Samsuri Mokhtar sebagai calon Pengerusi PN.
Tindakan itu Pas tidak dipersetujui oleh Muhyiddin dan orang-orangnya kerana merasakan jawatan Pengerusi PN mesti disandang oleh presiden parti. Apabila Abdul Hadi menolak mengetuai PN, Muhyiddin merasakan beliau paling layak dan menganggap Pas akan memujuk untuk beliau kekal.
Bagaimanapun sehingga ke hari ini, Pas tetap dengan pendirian bahawa mereka tidak mahu lagi Muhyiddin mengetuai PN. Malah mereka juga tidak bersetuju dengan tindakan Muhyiddin yang mencadangkan supaya Bersatu menjadi Pengerusi Majlis Presiden – Majlis ini lebih berkuasa daripada Majlis Eksekutif yang akan diketuai oleh Pas.
Kalau itu berlaku maknanya kedudukan Muhyiddin dalam PN sekadar bertukar nama jawatan sahaja daripada Pengerusi PN kepada Pengerusi Majlis Presiden yang kuasanya lebih tinggi daripada Pas yang menjadi tonggak PN.
Sebaik sahaja mesyuarat di kediaman Muhyiddin selesai, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan mendakwa PN berada dalam keadaan stabil dan kekal kukuh sebagai gabungan politik yang bersedia mengambil alih pentadbiran negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sebelum itu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dilihat meninggalkan kediaman Muhyiddin kira-kira jam 10.40 malam.
Mengulas lanjut, menurut Punithan, keadaan dalam PN adalah baik dan tiada sebarang isu besar melibatkan parti-parti komponennya setakat ini.
“Semua okey, PN stabil. Steady. ‘We are only strong. Government in waiting’. Kita akan ambil alih pada PRU16 nanti,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut menafikan dakwaan berlaku pergolakan antara PN dan Pas, sebaliknya menegaskan hubungan antara parti-parti dalam gabungan itu masih berada pada tahap yang baik.
“Tak ada pergolakan. ‘We are all good. We are in discussion’. Tak ada petanda buruk. Kita semua steady untuk pilihan raya akan datang,” ujarnya.
Punithan berkata, perbincangan sedang dilakukan bagi memastikan hala tuju PN menjadi lebih jelas, termasuk berkaitan kepimpinan gabungan itu.
“Tiada apa berlaku. Kita bincangkan supaya ada hala tuju yang jelas. Hari ini tiga presiden ada, saya bersama Gerakan dan Bersatu. Kita juga akan berbincang dengan Pas,” ujarnya.
Mengulas ketiadaan wakil Pas dalam pertemuan itu, Punithan berkata, parti berkenaan tidak memaklumkan sebab ketidakhadiran mereka, namun perkara itu dianggap biasa dalam landskap politik.
“Mereka tidak maklumkan, tapi tidak mengapa. Ini perkara biasa dalam politik. Kami ini ibarat adik-beradik. Silaturahim masih tinggi dan perbincangan dengan Pas masih berjalan,” ujarnya.
Beliau menambah, satu mesyuarat peringkat tertinggi PN dijangka diadakan dalam masa terdekat selepas semua pihak mencapai persetujuan mengenai hala tuju gabungan itu.
Hakikatnya, keadaan itu secara tersirat membuktikan bahawa PN sedang dilanda masalah dan jika kemelut yang berlaku tidak diselesaikan jangan mimpi PN akan mengambil alih teraju kepimpinan negara.
Ketidakhadiran Pas yang sebelum ini tiga pemimpinnya menafikan kenyataan Muhyiddin bahawa Pas bersetuju memansuhkan jawatan Pengerusi PN sudah membuktikan hubungan antara Pas dengan Muhyiddin kini bagaikan ‘telur di hujung tanduk’.
Difahamkan hari ini Pas akan mengadakan retreat di Bangi. Dan tidak mustahil juga Pas akan menyatakan pendirian parti itu secara jelas dan tegas bagi menunjukkan kepada Muhyiddin dan pemimpin Bersatu pro bekas Perdana Menteri itu…cukup-cukuplah menguji kesabaran Pas. Kini masa untuk Pas menyatakan pendirian dan membuat keputusan.
Sama-sama kita tunggu apa taktikal Muhyiddin dan apa strategi Pas dalam keadaan hubungan kedua-duanya bagaikan retak menanti belah berikutan tindakan Muhyiddin yang sudah letak jawatan Pengerusi PN tetapi tetap mahu menerajui gabungan tersebut dengan jawatan lain pulak….apa yang pasti dalam kalangan ahli Parlimen PN….Muhyiddin semakin keseorangan…


