MESYUARAT Majlis Raja-Raja Ke-273 yang berlangsung selama dua hari di Istana Negara turut membincangkan beberapa perkara penting, antaranya cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Mesyuarat yang bermula semalam dan dipengerusikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah manakala Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat hadir pada hari kedua dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini, majlis memperhalusi Kertas Untuk Merundingi Majlis Raja-Raja Berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 Mengenai Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri, lapor Bernama.
“Majlis Raja-Raja turut disembah maklum mengenai Kertas Untuk Memaklumkan Majlis Raja-Raja Berkenaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara Dan Pendakwa Raya serta cadangan pindaan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001,” kata kenyataan itu.
Majlis turut disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail manakala Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman menyembahkan taklimat pertahanan dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir menyembahkan taklimat ekonomi.
Agenda lain yang dibincang termasuk pelantikan hakim Mahkamah Khas dan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara, cadangan tarikh mesyuarat bagi 2027 serta perkara berkaitan pentadbiran agama Islam di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia seperti peluasan skop pengauditan Kumpulan Wang Zakat.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh semua Sultan, Raja dan Yang Dipertua Negeri termasuk Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra (mewakili Sultan Kelantan) dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim (mewakili Pemangku Sultan Johor).





