MotoGP 2026: Marquez kuasai Sepang, raih kemenangan ketujuh musim ini

PELUMBA Ducati Lenovo Team, Marc Marquez terus memperkukuh penguasaannya dalam Kejuaraan Dunia MotoGP 2026 selepas muncul juara Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Pelumba Sepanyol itu mempamerkan permulaan agresif apabila memintas adiknya, Alex Marquez dari BK8 Gresini Racing MotoGP yang bermula di petak utama untuk mengambil alih kedudukan pendahulu sebaik perlumbaan memasuki selekoh pertama.

MARC Marquez menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini. GAMBAR: Bernama

Marc yang memulakan saingan dari petak kedua kemudian berjaya mengekalkan kelebihan sepanjang 20 pusingan dalam keadaan cuaca panas sebelum melintasi garisan penamat dengan masa 40 minit 14.23 saat.

Kejayaan itu menyaksikan pelumba berusia 33 tahun berkenaan meraih kemenangan ketujuh musim ini dan mengumpul keseluruhan 399 mata, sekali gus melebarkan jurang kepada 44 mata berbanding pencabar terdekat, Jorge Martin dari Aprilia Racing.

Martin bagaimanapun tidak beraksi pada GP Malaysia kali ini kerana masih menjalani proses pemulihan susulan kecederaan pergelangan tangan.

Pedro Acosta dari Red Bull KTM Factory Racing menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Alex Marquez terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga untuk melengkapkan podium.

Marc berkata, tumpuannya sepanjang hujung minggu perlumbaan menjadi antara faktor kejayaan mengharungi saingan di Sepang dengan sempurna.

“Saya sangat fokus sepanjang hujung minggu ini. Sejak sesi Latihan Bebas 1 (FP1), saya keluar seolah-olah sedang melakukan serangan masa dan kemudian cuba mencari had ketika sesi latihan kerana seperti yang saya katakan, sudah tiba masanya untuk mengambil risiko.

“Kami melakukannya dan mengharungi perlumbaan yang sempurna, jadi saya sangat, sangat gembira.

“Tetapi mentaliti saya tidak boleh berubah. Saya perlu terus fokus dan terus memberikan tekanan. Tidak banyak perlumbaan yang tinggal, tetapi masih banyak perlu ditempuhi, jadi kami perlu kekal sangat fokus,” katanya ketika ditemui media selepas perlumbaan itu, lapor Bernama.

Saingan kejuaraan dunia musim ini akan bersambung menerusi GP Qatar dari 6 hingga 8 November, diikuti GP Portugal (20 hingga 22 November) dan GP Valencia (27 hingga 29 November).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here