MUAFAKAT politik dalam kalangan orang Melayu disifatkan sebagai elemen penting bagi memastikan masa depan umat Islam terus terpelihara dan tidak terpinggir dalam arus geopolitik semasa.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha membina kekuatan umat perlu digerakkan secara bersama dengan berpaksikan ajaran Islam serta kesedaran terhadap cabaran masa depan.
Kata beliau, umat Melayu tidak boleh lagi berada dalam keadaan lemah dan berpecah sehingga menjadi seperti pepatah lama, ‘itik di air mati kehausan’.
“Berpeganglah kamu semua kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah,” katanya merujuk kepada firman Allah SWT sebagai asas penyatuan umat, lapor Harakahdaily.
Beliau berkata,kekuatan jati diri mesti dibina dengan berlandaskan perintah Allah SWT agar umat Islam sentiasa bersatu dan tidak berpecah belah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Perhimpunan Alam Melayu 2026, di Kuala Nerus, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa ijtima’ yang diadakan menjadi platform penting menghimpunkan pelbagai tokoh dari dalam dan luar negara melibatkan ahli akademik, pengkaji sejarah, ahli politik, teknokrat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya dari rantau ini.
Katanya, pertemuan tersebut bertujuan merumuskan pelan tindakan yang jelas dan strategik bagi membangunkan kekuatan umat Islam secara menyeluruh.
“Matlamat kita adalah untuk membangunkan umat ini menjadi satu umat yang kuat, bersatu dan mampu mengangkat martabat Islam sebagai agama yang diredai Allah SWT,” jelasnya.
Menurutnya, Pendekatan musyawarah dan kesepakatan perlu terus diperkukuhkan agar umat Islam tidak lagi berdepan kelemahan akibat perpecahan dalaman.


