PETRONAS kini berstatus pengimport bersih (net importer) bahan api dan bukan lagi pengeksport seperti yang difahami sebelum ini;
Menjelaskan perkara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia memberi pemahaman mengapa Malaysia masih terdedah kepada tekanan bekalan tenaga global, meskipun merupakan negara pengeluar minyak.
“Petronas kini pengimport bersih, kita perlu membeli minyak. Bekalan bagi April dan Mei mencukupi, namun bagi Jun masih belum pasti,” katanya ketika merasmikan Program Madani Rakyat 2026 Perak hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, situasi itu memerlukan semua pihak untuk memahami realiti semasa serta bekerjasama mencari penyelesaian bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga negara.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan Kerajaan MADANI akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek berteraskan kepentingan rakyat berbanding projek besar sewaktu dunia menerima impak konflik Asia Barat.
Beliau berkata, ia susulan keperluan kerajaan menampung pertambahan belanja RM6 bilion sebulan susulan konflik di negara teluk ketika ini.
“Perang pun di negara teluk tetapi kita kena bayar RM6 bilion sebulan. Sebab itu saya katakan jangan mintalah projek-projek besar sementara ini tetapi projek buat rakyat seperti baiki tandas sekolah yang rosak, baiki bumbung masjid atau rumah Orang Asli, itu kita boleh timbangkan untuk bagi mana yang mampu.
“Tetapi projek-projek besar kita terpaksa tangguh. Saya pun katakan menteri-menteri tak payah keluar negara sebab belanja tinggi. Dahulu dari Kuala Lumpur ke London RM7,000 tiket penerbangan tetapi sekarang sudah sampai RM20,000,” katanya.
Anwar turut memberitahu Malaysia mengambil pendekatan ‘berkawan’ dengan semua negara yang mana dengan itu banyak negara termasuk keseluruhan negara teluk yang terbabit dengan konflik di Asia Barat menghubungi Malaysia termasuk Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Beliau berkata, Malaysia mengamalkan dasar bebas atau berkecuali tidak harus menunggu persetujuan Amerika Syarikat (AS) untuk menentukan hala tuju dasar sendiri dalam perihal ekonomi.
“Walaupun negara kita bukanlah negara besar tetapi kita bersyukur semua negara Arab dan teluk menghubungi kita termasuk Presiden Iran walaupun beliau hanya memilih beberapa orang sahaja di dunia ini untuk bercakap.
“Kita kena berkawan dengan semua… Kita tak tunggu AS setuju atau tidak, (kerana) Malaysia ini bebas dan merdeka. Jadi kita putuskan sendiri dasar kita,” katanya.


