Muhyiddin dedah ada gerakan kumpul tandatangan mahu jatuhkan beliau sebagai Presiden Bersatu

TAN Sri Muhyiddin Yassin malam ini mendedahkan ada pihak melakukan gerakan mengutip tandatangan untuk menjatuhkan beliau sebagai Presiden Bersatu.

Sehubungan itu beliau mengingatkan bahawa ia tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti.

‘’Kalau Presiden dijatuhkan melalui kutipan tandangan, semua yang ada di atas pentas ini pun boleh dijatuhkan melalui cara yang sama. Ketua-Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Ketua Srikandi Muda, Ketua Bersekutu dan semua Ahli Jawatankuasa Bahagian pun boleh ditimpa nasib yang sama.

‘’ Ingat, parti kita ini ada perlembagaannya. Ada peraturannya. Patuhilah perlembagaan parti kalau kita mahu parti kita ini tertib, elok, rukun dan damai, ’’ katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 di Shah Alam.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata,  berdasarkan sentimen rakyat, Bersatu dan Perikatan Nasional sedang berada pada kedudukan yang terbaik untuk memenangi Pilihanraya Umum ke-16 dan membentuk kerajaan.

‘’Jadi, nasihat saya, hentikanlah adu domba. Elakkanlah sengketa sesama kita. Buang segala sikap buruk yang melemahkan kita. Jangan jadi seperti Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai. Jangan jadi seperti Lebai Malang, di sini terlepas di sana pun melepas.

‘’Ingatlah, parti kita tidak bermula dengan timbunan harta dan wang ringgit. Tidak juga dengan janji jawatan dan kedudukan. Kita bermula tanpa apa-apa.  Yang ada hanyalah semangat yang ikhlas dan daya juang yang membara untuk menyelamatkan negara,’’ katanya.

Beliau mengingatkan supaya pemimpin dan ahli Bersatu tidak mengulangi kesilapan banyak parti yang dahulunya besar dan gah, tetapi rebah apabila parti berpecah. Kita jangan ulangi kesilapan parti lain.

‘’ Perpaduan di dalam parti hanya akan terbina apabila semua ahli faham perjuangan parti serta sayang dan cintakan parti. Apabila kita faham makna perjuangan, apabila tumbuh di dalam hati sanubari kita perasaan sayang dan cintakan parti, kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh memecah belahkan parti.

‘’Kita tidak akan menjadi batu api atau batu ronson. Seorang ahli yang cintakan parti tidak akan melaga-lagakan orang itu dan orang ini. Malah jika ada perbalahan, perselisihan faham, mereka mengambil peranan untuk mendamaikan,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img