Pesara jurutera kerugian lebih RM1.1 juta ditipu sindiket pelaburan saham tidak wujud

SEORANG pesara jurutera kerugian lebih RM1.1 juta selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 57 tahun, sebelum itu menerima satu pesanan menerusi aplikasi WhatsApp yang menawarkan peluang pelaburan dengan pulangan lumayan dalam tempoh singkat pada 9 Disember lalu.

“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa kemudian menyertai kumpulan WhatsApp ‘FYCMAX VIP’ dan diarahkan memuat turun satu aplikasi dikenali sebagai FYC serta berurusan dengan beberapa individu yang bertindak sebagai pentadbir kumpulan berkenaan.

“Mangsa yang semakin yakin selepas melihat paparan keuntungan dalam aplikasi itu telah membuat sebanyak 23 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza di mana jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan ialah RM1,108,784,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan wang pelaburan termasuk keuntungan yang diperoleh.

Menurut beliau, kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan mana-mana tawaran pelaburan yang meragukan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img