Nahas empat sekeluarga Simpang Renggam: Polis rujuk kertas siasatan kepada AGC

KERTAS siasatan membabitkan kes seorang remaja lelaki yang memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengorbankan lima nyawa termasuk empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Isnin lalu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan lanjut daripada AGC berhubung kes berkenaan.

“Kita sudah merujuk kertas siasatan kepada Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar) dan perkembangan seterusnya akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Semalam, tempoh reman terhadap remaja berusia 19 tahun itu disambung sehari lagi bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan mendapati suspek yang memandu sebuah Mercedes-Benz A250, manakala abangnya berusia 22 tahun memandu BMW 530e, dipercayai memandu secara melulu di Jalan Renggam-Simpang Renggam sebelum terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan.

Nahas tragis itu mengorbankan empat sekeluarga iaitu Semek Mat Soh, 73; anak dan menantunya, Aiman Mohd Rashid, 36, serta Nor Azlina Abd Latip, 33; selain anak saudara Aiman, Nur Airish Syifa Sidek, 10.

Abang suspek yang memandu BMW turut maut selepas terbabit dalam kemalangan itu ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara semalam mengarahkan polis mengklasifikasikan semula siasatan terhadap nahas berkenaan sebagai kes bunuh.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan keputusan muktamad berhubung pertuduhan yang akan dikenakan hanya akan dibuat selepas pihaknya meneliti secara menyeluruh hasil siasatan yang dikemukakan polis.

Kes berkenaan mendapat perhatian ramai susulan kehilangan lima nyawa dalam satu kemalangan yang disyaki berpunca daripada tindakan memandu secara berbahaya di jalan raya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img