Negara Arab perlu pilih Iran atau Israel – Duta AS beri kata dua

DUTA Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee, berkata negara-negara Teluk kini berdepan apa yang disifatkannya sebagai pilihan strategik antara Israel dan Iran susulan perang Israel-AS terhadap Iran baru-baru ini yang menjejaskan beberapa negara di Asia Barat.

Berucap pada satu acara di Tel Aviv pada Selasa, Huckabee berkata Israel telah menghantar sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome dan anggota tentera ke Emiriah Arab Bersatu (UAE)  ketika perang dengan Iran berlaku.

Menurut CBS News, Huckabee memuji Abu Dhabi atas hubungannya dengan Israel di bawah perjanjian normalisasi Abraham Accords.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Emiriah Arab Bersatu, anggota pertama Abraham Accords. Lihat sahaja manfaatnya. Israel baru sahaja menghantar bateri Iron Dome dan anggota untuk membantu mengendalikannya, katanya.

UAE masih belum mengeluarkan sebarang maklum balas terbuka terhadap kenyataan Huckabee itu.

Kenyataan tersebut dibuat beberapa bulan selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu, sekali gus mencetuskan konflik serantau berskala besar.

Tehran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Israel dan sekutu AS di rantau Teluk selain menutup Strait of Hormuz, laluan tenaga global yang penting.

Perang itu mengorbankan lebih 3,300 orang di Iran dan menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut laporan. Sekurang-kurangnya 13 anggota tentera Amerika turut terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam pertempuran tersebut.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April hasil pengantaraan Pakistan. Bagaimanapun, rundingan susulan di Islamabad gagal mencapai perjanjian berkekalan. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kemudian melanjutkan tempoh gencatan senjata tanpa menetapkan tarikh akhir.

Dalam ucapannya itu, Huckabee turut berkata beliau menjangkakan lebih banyak negara Asia Barat akan menormalisasikan hubungan dengan Israel menerusi Abraham Accords.

“Saya sangat optimis,” katanya.

Beberapa kerajaan Arab bagaimanapun terus mengkritik Israel berhubung perang di Gaza, Lebanon, Syria dan Iran. Kemarahan di rantau itu semakin meningkat apabila konflik Israel berkembang ke pelbagai medan sepanjang tahun lalu, manakala perang AS-Israel terhadap Iran baru-baru ini meletakkan negara-negara Teluk dalam keadaan terdedah kepada serangan balas dan ketidakstabilan yang semakin memuncak.

Huckabee mempertahankan tindakan Israel sepanjang perang tersebut dan menyifatkan Iran sebagai ancaman utama kepada negara-negara Teluk.

“Negara-negara Teluk kini memahami mereka perlu membuat pilihan — adakah mereka lebih berkemungkinan diserang oleh Iran atau Israel?. Mereka melihat Israel membantu kami dan Iran menyerang kami. Israel tidak cuba merampas tanah anda dan tidak menghantar peluru berpandu kepada anda,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img