JAUH di bawah timbunan lumpur dan serpihan akibat banjir di koridor Sungai Trishuli, Nepal, ratusan pekerja projek hidroelektrik dipercayai masih terperangkap di dalam terowong dan loji janakuasa bawah tanah.
Tiga hari selepas banjir besar melanda pada Rabu, pasukan penyelamat masih bergelut untuk sampai kepada sebahagian daripada mereka.
Jalan raya dan jambatan dihanyutkan arus deras, pintu masuk terowong tertimbus, manakala dalam sesetengah kes, pihak berkuasa sendiri tidak mengetahui lokasi sebenar pekerja yang masih hilang.
Satu video yang tersebar luas di media sosial dan media Nepal memberikan gambaran mengenai salah satu operasi menyelamat itu, lapor Kathmandupost
Video berkenaan menunjukkan anggota Tentera Nepal bekerja dalam lumpur tebal dan membeku di dalam sebuah terowong, dengan seorang anggota menarik keluar seorang pekerja yang terperangkap, manakala seorang lagi menolaknya dari belakang.
Rakaman itu dirakam ketika operasi menyelamat pekerja di projek hidroelektrik Upper Trishuli-1 berkapasiti 216 megawatt (MW), sekali gus mencetuskan pujian meluas terhadap usaha Tentera Nepal.
Sejak Rabu, anggota tentera bekerja untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di projek hidroelektrik serta dalam terowong di sepanjang koridor Trishuli yang dilanda banjir. Namun, operasi dramatik itu hanyalah sebahagian daripada krisis yang jauh lebih besar.
Persatuan Pengeluar Tenaga Bebas Nepal (IPPAN) berkata seramai 934 orang yang mempunyai kaitan dengan 11 projek hidroelektrik, termasuk projek yang masih dalam pembinaan, masih belum dapat dikesan.
Jumlah sebenar individu yang terperangkap di setiap lokasi masih belum dapat dipastikan berikutan kesukaran untuk sampai ke kemudahan yang terputus hubungan akibat banjir.
Di projek hidroelektrik Chilime berkapasiti 22.1MW yang dibangunkan oleh Chilime Hydropower Company Limited, lapan individu termasuk kakitangan masih belum dapat dihubungi. Enam daripada mereka dipercayai berada di dalam sebuah terowong.
“Kami masih belum dapat menjalankan operasi menyelamat. Terowong itu dipenuhi lumpur dan mustahil untuk dimasuki,” kata Pengarah Eksekutif Chilime Hydropower Company, Baburaj Maharjan.
“Kami sedang berusaha menggerakkan pasukan penyelamat yang mempunyai kepakaran mendaki batu.”
Beliau berkata terowong dan loji janakuasa projek itu turut mengalami kerosakan.
Sementara itu, di Rasuwagadhi Hydropower Company, seramai 49 pekerja masih belum dapat dihubungi, menurut pegawai maklumat syarikat, Narayan Nath Neupane.
“Terdapat 56 atau 57 orang di kawasan empangan dan loji janakuasa, dan kami tidak dapat menghubungi mana-mana daripada mereka.
“Kami menganggarkan antara tiga hingga enam orang mungkin berada di dalam loji janakuasa bawah tanah yang mempunyai enam atau tujuh tingkat. Kami berharap mereka selamat selagi paip oksigen tidak tersumbat,’’ katanya.
Tentera Nepal setakat ini berjaya menyelamatkan 254 orang dari projek hidroelektrik Langtang Khola berkapasiti 20MW.
Bagaimanapun, pekerja di beberapa projek lain termasuk Rasuwagadhi dan Chilime masih menunggu untuk diselamatkan.
Pegawai yang terlibat dengan projek berkenaan berkata masalah utama ialah akses ke lokasi, selain mengkritik kerajaan kerana didakwa tidak memberikan keutamaan mencukupi kepada operasi menyelamat.
Promoter Langtang Hydropower, Bijaya Mohan Bhattarai, berkata projek itu kini hanya boleh dicapai menggunakan helikopter selepas jambatan di laluan menuju ke kawasan berkenaan dihanyutkan.
“Jambatan di beberapa lokasi menuju ke projek telah dihanyutkan. Tiada cara untuk sampai ke sana melalui jalan darat. Seramai 42 orang masih belum dapat dikesan. Kerajaan mesti menjadikan operasi menyelamat mereka sebagai keutamaan,’’ katanya.
Kementerian Tenaga, Sumber Air dan Pengairan Nepal berkata seramai 350 orang, termasuk pekerja hidroelektrik dan penduduk, telah diselamatkan dari pelbagai projek sehingga Jumaat.
Kementerian itu turut berkata pihaknya menerima maklumat bahawa lebih 100 orang masih terperangkap di dalam terowong, manakala pasukan Tentera Nepal meneruskan operasi menyelamat.
“Status dan butiran pekerja serta kakitangan di projek hidroelektrik yang terjejas telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama pengurus projek, IPPAN dan wakil Pihak Berkuasa Elektrik Nepal (NEA), dan usaha sedang dijalankan untuk mengemas kini maklumat berkenaan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Maklumat awal menunjukkan lebih 1,000 pekerja yang bertugas di projek tenaga di kawasan terjejas kini tidak dapat dihubungi.”
Keadaan tidak menentu itu mencetuskan rayuan semakin terdesak daripada rakan sekerja dan keluarga mangsa.
Seorang kakitangan NEA, Abhishekh Chauhan, menerusi media sosial menggesa pihak berkuasa memberi keutamaan kepada usaha menyelamat individu yang terperangkap di projek Upper Trishuli-3A berkapasiti 60MW.
“Saya sudah keletihan kerana berulang kali merayu kepada pihak berkuasa supaya menjalankan operasi menyelamat. Saya tidak lagi berada dalam keadaan untuk menulis atau bercakap mengenainya,” katanya.
“Sudah tiga hari berlalu dan mereka masih belum dapat dikesan. Dengan lebih 35 orang menunggu untuk diselamatkan di dalam dan luar terowong, setiap detik yang berlalu pasti amat menyakitkan dan menakutkan.”
Chauhan berkata operasi menyelamat yang dilengkapi peralatan mencukupi serta melibatkan jumlah anggota dan pakar penyelamat yang diperlukan masih belum bermula walaupun masa terus berlalu.





