Nik Nazmi dakwa wakil rakyat PH, UMNO minat sertai Bersama

BEKAS Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa, beberapa Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO yang menyatakan minat menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang disertainya bersama Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bagaimanapun menurut bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu, beliau menasihatkan mereka menunggu sehingga pembubaran Parlimen bagi mengelak implikasi, termasuk kestabilan kerajaan.

“Kita ada terima (risikan) daripada wakil rakyat PH dan parti lain yang menyatakan minat untuk masuk Bersama, cuma kita kata buat masa ini kekal dulu.

“Kami fikir mengenai kesesuaian masa dan sebagainya. Bukan orang (ahli Parlimen) PKR yang empat lima orang itu sahaja, ramai juga daripada PH dan beberapa parti lain tanya.

“Cuma kami kata tunggu dulu sebab banyak perkiraannya termasuk aspek kestabilan kerajaan, bukan kami tidak fikir benda itu,” katanya hari ini, lapor BH.

Nik Nazmi dan Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, mengambil alih Bersama pada 17 Mei lalu. Sehari selepas itu, mereka mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen masing-masing.

Ketika majlis pengumuman pengambilalihan Bersama, lima ahli Parlimen PKR turut hadir iaitu Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), M Kesavan (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, beliau dan Rafizi perlu bergerak terlebih dahulu walaupun terpaksa mengorbankan kerusi Parlimen masing-masing bagi persediaan menuju pilihan raya.

Mengulas lanjut katanya, daripada 20,000 keahlian baharu Bersama, kira-kira 46 peratus adalah pengundi atas pagar atau kali pertama menyertai parti politik.

Nik Nazmi berkata, 29 peratus adalah daripada PKR; 6.3 peratus (UMNO); 5.2 peratus (Pas); masing-masing 2.5 peratus (Amanah dan Bersatu); 2.2 peratus (Muda) dan 1.3 peratus (DAP).

“Kalau kira ahli daripada parti Melayu sahaja iaitu UMNO, Pas, Bersatu dan Amanah, kira-kira 15 peratus kita terima penyertaan daripada segmen terbabit.

“Dari segi pecahan kaum, kira-kira 62 peratus keahlian kita terima adalah orang Melayu, 16 peratus India dan 15 peratus kaum Cina,” katanya.

Beliau berkata, peratusan tinggi keahlian pengundi atas pagar menunjukkan golongan terbabit mencari kuasa ketiga kerana sudah tidak boleh mengharapkan parti sedia ada mewakili mereka.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img