Norway didesak hormati kontrak pertahanan dengan Malaysia – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyampaikan bantahan keras Malaysia dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Norway, Jonas Gahr Støre berhubung keputusan unilateral negara itu membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal (NSM) serta sistem pelancar berkaitannya.

Menurut Perdana Menteri, keputusan yang dibuat atas alasan kononnya demi melindungi keselamatan Norway itu disifatkan sebagai tidak boleh diterima dan memberi kesan besar terhadap kesiapsiagaan pertahanan negara.

Anwar berkata, Malaysia telah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak berkenaan sejak tahun 2018 dengan penuh teliti, setia dan tanpa sebarang keraguan.

“Namun, Norway dilihat tidak merasakan keperluan untuk memberikan layanan sama dari segi penghormatan dan semangat kepercayaan baik terhadap Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pembatalan perolehan sistem NSM daripada syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace ASA (KDA).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung perubahan polisi kerajaan Norway yang memberi kesan kepada kelulusan eksport pertahanan sekali gus menjejaskan pelaksanaan kontrak terbabit.

Perdana Menteri dalam pada itu menegaskan, keputusan tersebut akan membawa implikasi serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia serta program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Katanya, tindakan itu juga dijangka memberi kesan lebih luas terhadap keseimbangan strategik di rantau ini.

“Kontrak yang dimeterai adalah instrumen yang serius dan tidak seharusnya diperlakukan sewenang-wenangnya.

“Sekiranya pembekal pertahanan Eropah merasakan mereka boleh menarik diri daripada komitmen tanpa sebarang akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan terhakis,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img