Onn Hafiz nafi sekeras-kerasnya dakwaan Puad Zarkashi

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi  menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa beliau sendiri memaklumkan mengenai pembubaran DUN  adalah arahan  Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

“Apa yang saya jelaskan kepada beliau (Mohd Puad) ialah pembubaran DUN ini dibuat selepas mendapat titah perkenan Tunku Mahkota Ismail selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Berikut kenyataan penuh Onn Hafiz di Facebook beliau:

Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa saya pernah memaklumkan kepadanya kononnya pihak Istana telah “mengarahkan” pembubaran Dewan Negeri Johor.

Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

 Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati. Pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan.

Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka. Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik.

Justeru, amat tidak bertanggungjawab untuk beliau kini memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga mewujudkan persepsi kononnya Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor.

Beliau berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti. Namun, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.

Sehubungan itu, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

Saya menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img