Dana RM50 juta: UMNO perlu telus, PDRM dan SPRM wajar siasat sumber wang

UMNO perlu menjelaskan secara terbuka sumber wang RM50 juta yang dikaitkan dengan pembayaran denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengelakkan spekulasi dan persepsi negatif masyarakat terhadap parti itu.

Pensyarah dan Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan ketelusan kewangan serta mempertahankan kredibiliti dan integriti UMNO.

Beliau berkata, walaupun parti itu berjaya mengumpulkan dana berkenaan dalam tempoh singkat, perkara lebih penting ialah memperincikan identiti penyumbang, jumlah sumbangan dan kaedah dana berkenaan dikumpulkan.

“UMNO perlu menjelaskan sumber dana RM50 juta itu supaya tidak timbul spekulasi dan persepsi negatif masyarakat.

“Ketelusan kewangan penting untuk menjaga integriti dan reputasi parti. Kejayaan mengumpulkan dana dalam tempoh singkat tidak seharusnya mengetepikan keperluan untuk menjelaskan sumber wang berkenaan,” katanya kepada utusanmelayuplus.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga wajar menjalankan siasatan terhadap sumber serta aliran wang atau money trail bagi memastikan dana itu diperoleh secara sah.

Katanya, siasatan berkenaan penting untuk memastikan tiada unsur pengubahan wang haram atau penyalahgunaan kedudukan dalam proses pengumpulan sumbangan berkenaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga perlu meneliti kemungkinan wujud konflik kepentingan, khususnya sekiranya penyumbang terdiri daripada kontraktor, ahli perniagaan atau syarikat yang mempunyai kepentingan dalam projek kerajaan.

“Perhatian khusus wajar diberikan kepada kemungkinan hubungan antara penyumbang dengan projek atau kontrak kerajaan, termasuk yang membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Bagaimanapun, sebarang dakwaan perlu disokong bukti dan tidak boleh dianggap sebagai fakta sebelum siasatan dijalankan,” katanya.

Mohd Azhar berkata, sumbangan politik tidak seharusnya menjadi saluran untuk membeli pengaruh atau mendapatkan keistimewaan daripada kerajaan.

Justeru, katanya, prinsip akauntabiliti dan tadbir urus baik perlu terpakai kepada semua parti politik serta pemimpin tanpa sebarang pengecualian.

Beliau berkata, UMNO juga perlu bersikap terbuka terhadap sebarang siasatan PDRM dan SPRM bagi membuktikan sumber dana berkenaan sah serta bebas daripada konflik kepentingan.

“Ketelusan dan kesediaan untuk disiasat bukan sahaja dapat membersihkan parti daripada tohmahan, malah membolehkan masyarakat menerima penjelasan berdasarkan fakta dan bukti yang meyakinkan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here