Hadi beri pilihan kepada Gerakan, MIPP: Sokong Pas atau Bersatu

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, penyingkiran mana-mana komponen Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada keputusan suara majoriti.

Justeru, Ahli Parlimen Marang itu berkata, terserah kepada Gerakan atau Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sama ada mahu menyokong Pas atau Bersatu untuk kekal dalam PN memandangkan dua parti berkenaan telah menamatkan kerjasama politik.

“Terpulang kepada parti rakan-rakan lain. (Mengikut Perlembagaan PN) mesti majoriti parti anggota membuat keputusan,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang hari ini.

PN mempunyai empat parti komponen iaitu Pas selaku parti terbesar dalam gabungan, Bersatu, Gerakan dan MIPP.

Dalam pada itu, mengulas kekalutan Pas dan Bersatu yang masih berada dalam gabungan itu meskipun tiada kerjasama politik, Abdul Hadi menegaskan jawatan Pengerusi PN dipegang oleh Pas manakala parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih ahli komponen.

“Terpulang kepada dua-dua parti ini (Gerakan dan MIPP) hendak sokong kita atau sokong Bersatu.

“Kemudian Pengerusi ini, dia buat Perlembagaan. Pengerusi ini ada kuasa seperti nak bagi simbol pilihan raya dan lain-lain. Dia buat seperti itu nak ikat kita. Sebab itu kita hendak lepas daripada ikatan itu, kita terpaksa buat begitulah,” katanya.

Hari ini, Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi, Mohd Syahir Che Sulaiman memaklumkan Presiden Pas itu dijemput untuk merasmikan Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan esok.

Pada konvensyen itu, bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan penyokongnya dijangka mengumumkan hala tuju politik gerakan tersebut.

Hamzah yang pernah menjadi Ketua Pembangkang melancarkan gerakan Reset pada 14 Februari lalu, sehari selepas dipecat Bersatu susulan pertikaian kepimpinan dengan Muhyiddin.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img