PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas sepatutnya keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dan bukannya Bersatu memandangkan parti itu yang membuat keputusan menamatkan kerjasama politik mereka.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Bersatu sebagai pengasas bersama PN, mempunyai hak untuk kekal sebagai komponen gabungan dan tidak boleh dipaksa keluar.
Beliau berkata, menjadi amalan biasa bagi sesebuah parti keluar gabungan apabila ia sendiri memutuskan hubungan dengan komponen lain, sambil merujuk tindakan Pas keluar Pakatan Rakyat (PR) selain dan tindakan Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH).
“Sepatutnya kalau kita tidak puas hati dengan kawan dalam satu rumah, kitalah keluar. Bukan kita paksa kawan kita keluar. Ini tidak masuk akal.
“Tetapi, mungkin Pas memikirkan PN saya asaskan ini ada nilai, maka dia nak bergayut kepada PN dan buat perkara memaksa Bersatu supaya keluar. Jika Bersatu memutuskan meninggalkan PN, kita boleh keluar pada bila-bila masa,” katanya, lapor BH.
Pas menamatkan kerjasama politiknya dengan Bersatu awal bulan lalu, walaupun dua parti berkenaan kekal komponen PN.
PN yang kini dipengerusikan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kemudiannya menerima dua komponen baharu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan parti yang kini diketuai bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Pas dan Bersatu bertanding di bawah panji PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai, namun parti itu memutuskan tidak berkempen untuk Bersatu. PN akhirnya tewas di semua kerusi.
Menjelang PRN Sembilan 1 Ogos ini, PN diterajui Pas mengikat persefahaman dengan Barisan Nasional (BN). Dua gabungan itu bersetuju mengelak bertembung di 36 kerusi dipertandingkan, dengan BN bertanding di 25 DUN, manakala PN merebut baki 11 kerusi.
Bersatu menentang pakatan berkenaan dan memutuskan bertanding di bawah lambangnya sendiri di 24 kerusi, sekali gus mencetuskan pertembungan dengan PN di lapan kawasan.
Tanpa mengambil kira keputusan PRN Negeri Sembilan, Muhyiddin berkata, beliau akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Bersatu sebaik sahaja penggalnya berakhir tahun depan.
“Saya sudah menyatakan hasrat dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu tiga tahun lalu ini penggal terakhir saya sebagai Presiden. Jadi, perubahan kepemimpinan untuk menyegarkan semula Bersatu dan membawa parti ke tahap lebih tinggi akan berlaku.”
Pada Perhimpunan Agung Bersatu 2023, Muhyiddin umum beliau tidak akan mempertahankan jawatan presiden. Namun, beliau menarik balik keputusan itu pada keesokan harinya, sambil menyatakan perwakilan mahu beliau kekal untuk satu penggal lagi.






