SEORANG penuntut wanita sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) di Kuala Langat direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi di rumah sampah sebuah blok asrama IPT itu baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, tempoh reman remaja itu bermula semalam membolehkan polis meneruskan siasatan berhubung kes penemuan mayat bayi itu.
“Reman remaja berusia belasan tahun itu dibenarkan selama empat hari bermula 25 Julai (Sabtu) hingga 28 Julai (Selasa),” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Media pada Jumaat lalu melaporkan, polis menahan seorang penuntut wanita sebuah IPT susulan penemuan mayat bayi di rumah sampah asrama IPT itu di Kuala Langat.
Mayat bayi malang itu yang dibalut dengan kain ditinggalkan di rumah sampah blok asrama IPT berkenaan dan penemuannya dilaporkan kepada polis kira-kira jam 12.20 tengah malam Khamis oleh seorang lelaki tempatan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222.






