DUA pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dikesan berjalan dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan Kampung Beting Pauh, Pasir Mas, awal pagi tadi.
Kedua-dua lelaki berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 pagi ketika anggota Strike Force/Tiger Platoon Kompeni A Batalion 9 PGA Kuala Terengganu bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menjalankan rondaan Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati kedua-dua lelaki terbabit mengaku memasuki Malaysia dari Thailand melalui sebuah pangkalan haram yang mereka sendiri tidak mengetahui nama serta lokasinya.
“Mereka mengaku memasuki Malaysia pada Januari 2025 sebelum menetap di Pasir Gudang, Johor dan bekerja sebagai buruh binaan dengan upah RM30 sehari.
“Kedua-duanya kemudian datang ke Kelantan kira-kira tujuh hari lalu untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dan sepanjang berada di negeri ini mereka menumpang di sebuah surau di Kampung Beting Pauh,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek tidak menemukan sebarang barangan menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, mereka ditahan kerana gagal memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kedua-dua lelaki itu telah diserahkan kepada BSJD IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.






