PATI sembunyi bawah katil, cubaan larikan diri gagal

CUBAAN sekumpulan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melarikan diri dan bersembunyi di bawah katil serta ruang sempit premis bagi mengelak ditahan gagal apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menyerbu beberapa lokasi sekitar bandar Johor dalam operasi khas, baru-baru ini.

Operasi Ops Sapu yang dijalankan pada 16 Jun lalu kira-kira jam 11 malam itu menyasarkan rumah kediaman dan rumah kedai yang dipercayai dijadikan tempat tinggal PATI di sekitar Johor Bahru.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan ke atas beberapa premis yang dikenal pasti sebagai lokasi penempatan warga asing tanpa dokumen sah.

“Ketika serbuan dijalankan, suasana dilaporkan bertukar kecoh apabila terdapat individu cuba meloloskan diri bagi mengelak pemeriksaan anggota penguat kuasa.

“Bagaimanapun, tindakan itu tidak berjaya apabila pemeriksaan menyeluruh dilakukan sehingga membawa kepada penahanan semua individu terbabit.

“Selain cubaan melarikan diri, pemeriksaan turut mendapati terdapat individu yang bersembunyi di bawah katil dan ruang sempit dalam premis untuk mengelakkan diri daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dalam operasi itu seramai 73 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dewasa Indonesia, lima lelaki dewasa Myanmar, empat lelaki dewasa Bangladesh, seorang lelaki dewasa warga India, seorang kanak-kanak lelaki Myanmar, 22 wanita dewasa Indonesia, 22 wanita dewasa Myanmar, seorang kanak-kanak perempuan Indonesia dan seorang kanak-kanak perempuan Myanmar.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati PATI terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan berusia dalam lingkungan 10 bulan hingga 40 tahun.

“Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

“Operasi dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan itu melibatkan pemeriksaan ke atas beberapa premis yang dikenal pasti menjadi lokasi penempatan PATI.

“JIM Johor akan terus komited mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Orang ramai turut digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan ini,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img