CUBAAN seorang lelaki etnik Rohingya memecut bagi mengelak pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berakhir dengan penahanannya selepas kereta dipandunya berjaya dipintas dalam Ops PEWA di Kilometer 1, Jalan Padang Temusu, dekat Sungai Petani, semalam.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemeriksaan mendapati lelaki warga asing itu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah selain melakukan beberapa kesalahan lalu lintas.
Beliau berkata, pemandu berusia lingkungan 45 tahun itu sedang menunggu rakannya di sebuah kedai makan sebelum bertindak memecut apabila menyedari kehadiran pegawai JPJ di belakangnya.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu itu tidak memiliki CDL yang sah bagi warga asing selain melakukan tiga kesalahan pemanduan dan dua kesalahan teknikal membabitkan kenderaan.
“Antara kesalahan dilakukan ialah tidak memberi isyarat ketika membelok ke kiri, tidak berada di lorong kiri ketika membelok serta memandu tanpa kawalan sewajarnya,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan turut mendapati lampu isyarat kenderaan berkenaan tidak berfungsi.
Katanya, susulan pelbagai kesalahan itu, Perodua Kelisa terbabit disita dan dibawa ke Depoh Sita Stesen Penguat Kuasa JPJ Kuala Ketil untuk tindakan lanjut.
“Pemilik kenderaan turut dikenakan tindakan dan dikehendaki hadir ke mahkamah kerana membenarkan individu yang tidak memiliki lesen memandu menggunakan kenderaannya,” katanya.
Stien berkata, JPJ Kedah menegaskan cubaan melarikan diri daripada pemeriksaan tidak akan menghalang tindakan penguatkuasaan.
“Operasi akan terus dipergiatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.






