JPJ sita MPV disyaki klon di Jalan Genting Klang

JABATAN Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menyita sebuah kenderaan utiliti pelbagai guna (MPV) jenis Honda Mobilio disyaki klon dalam operasi penguatkuasaan di Jalan Genting Klang, malam tadi.

Kenderaan berwarna perak itu ditahan kira-kira jam 7 malam menerusi Ops Khas Penguatkuasaan Awam (Ops KPA) selepas didapati melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tidak memiliki perlindungan insurans.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, pemeriksaan lanjut mendapati jenis dan model kenderaan itu tidak sepadan dengan maklumat direkodkan dalam sistem MySikap.

“Hasil pemeriksaan nombor casis dan nombor enjin juga mendapati tiada rekod pendaftaran sah bagi kenderaan berkenaan sekali gus menimbulkan syak ia adalah kenderaan klon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, MPV itu dipandu wanita tempatan berusia 34 tahun yang mendakwa tidak mengetahui status sebenar kenderaan terbabit kerana baru menggunakannya kira-kira seminggu lalu selepas dipinjamkan ahli keluarga.

“Wanita itu memaklumkan kenderaan berkenaan adalah hadiah hari jadi kepada ibunya dan urusan pembelian diuruskan oleh abangnya yang menetap di Singapura,” katanya.

Susulan itu, JPJ WPKL mengeluarkan Notis Saman P22 dan menyita kenderaan terbabit mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut.

“Antara kesalahan dikesan ialah menggunakan kenderaan tidak berdaftar, mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan serta tiada perlindungan insurans,” katanya.

Hamidi berkata, JPJ memandang serius penggunaan kenderaan klon kerana bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya serta menyukarkan proses penguatkuasaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak status pemilikan dan pendaftaran sesebuah kenderaan sebelum membeli atau menggunakannya bagi mengelak terbabit dengan kesalahan berkaitan kenderaan klon.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img