Peguam Adat mohon Majlis Raja-Raja teliti krisis Negeri Sembilan

BARISAN Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan memohon Majlis Raja-Raja meneliti keseluruhan proses yang berlaku dalam krisis membabitkan kedudukan Raja Pemerintah Negeri Sembilan bagi memastikan setiap tindakan yang diambil selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).

Dalam kenyataan hari ini, sekretariat berkenaan memaklumkan, penelitian itu perlu dibuat berdasarkan kronologi keseluruhan peristiwa, bermula dengan mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac 2026, diikuti perkembangan pada 17 April sebelum keputusan Undang Yang Empat pada 19 April 2026.

Menurutnya, setiap peringkat proses berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Yang Dipertuan Besar dan Undang Luak dan perlu diteliti secara berurutan, bukan secara berasingan.

“Sekretariat menyembah mohon limpah perkenan Majlis Raja-Raja agar meneliti proses yang telah berlaku bagi menilai dan memberi nasihat sama ada setiap tindakan yang diambil, khususnya berkaitan penurunan takhta dan penggantian Yang Dipertuan Besar serta Undang Luak, telah dilaksanakan menurut peruntukan UUTKNS 1959 dan mengikut rule of law,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut menegaskan isu berkaitan kedudukan Raja dalam krisis berkenaan tidak seharusnya dilihat hanya daripada sudut Yang Dipertuan Besar, sebaliknya turut melibatkan kedudukan Undang Luak.

Krisis istana di Negeri Sembilan tercetus susulan perkembangan yang berlaku dalam Dewan Keadilan dan Undang, termasuk mesyuarat pada 5 Mac dan perkembangan pada 17 April 2026 yang menyentuh kedudukan Undang Luak Sungei Ujong.

Pada 19 April 2026, Empat Undang membuat proklamasi berkaitan pengosongan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan menamakan pengganti.

Pertikaian berhubung proklamasi itu kemudian berlarutan apabila timbul persoalan mengenai pematuhan proses di bawah UUTKNS 1959 serta kedudukan beberapa Undang yang terlibat.

Pada 17 September 2026, Jabatan Peguam Negara menyatakan proklamasi 19 April tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959, manakala DKU menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Menurut Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan, pelucutan jawatan Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak lain turut menyentuh kedudukan Raja berdasarkan tafsiran UUTKNS 1959 kerana Undang Luak juga membawa taraf sedemikian dalam kerangka Perlembagaan negeri.

“Justeru, mana-mana pihak yang mendakwa mempertahankan institusi Raja Negeri Sembilan tidak wajar mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi layanan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang-Undang Luak yang terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, sekretariat berpandangan Majlis Raja-Raja mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem pemerintahan negara apabila sesuatu isu menyentuh kedudukan, keistimewaan dan kehormatan institusi raja.

Sekretariat berkata, permohonan kepada Majlis Raja-Raja itu perlu dibezakan daripada percubaan mengambil alih fungsi pihak berkuasa negeri di bawah UUTKNS 1959.

“Melalui kaedah ini, KDYMM SPB YDPA dan Majlis Raja-Raja tidak menggantikan fungsi badan berkuasa berkenaan, sebaliknya berperanan meneliti semula, memberi nasihat, dan memastikan proses yang berlaku menepati kehendak undang-undang,” katanya.

Menurutnya, peranan berkenaan boleh dilihat sebagai sebahagian daripada tafsiran jaminan Persekutuan di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam keadaan yang telah mencapai tahap kritikal.

Sekretariat turut menegaskan fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan adalah berbeza daripada peranan pihak berkuasa negeri dalam menjalankan prerogatif dan kuasa mengikut kerangka perlembagaannya sendiri.

Dalam pada itu, sekretariat berkata, pihak berkuasa Persekutuan seperti Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara tidak sewajarnya campur tangan dalam urusan kenaikan atau penurunan takhta yang telah diperuntukkan secara khusus di bawah UUTKNS 1959.

Sekretariat turut meminta penelitian Majlis Raja-Raja dilakukan secara adil dan saksama serta secepat mungkin bagi memelihara hak raja dan keutuhan UUTKNS 1959 sebagaimana dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan terdiri daripada Emirul Sarifudin Nor Azmi, Asmawi Ismail dan Deidra Nur Azmi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here