Peguam Negara tegaskan proklamasi tidak sah, minta semua pihak hormati proses mahkamah

JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini menegaskan  Proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tidak sah kerana tidak patuh kehendak mandatori Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu dalam satu kenyataan AGC menegaskan, pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan Proklamasi tersebut adalah menjadi suatu tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan.

Berikut kenyataan penuh AGC:

Jabatan Peguam Negara mengambil maklum akan dokumen “Kenyataan Media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan – Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Bil. 6 Tahun 2026 (15 September 2026)”.

Pertamanya, Jabatan ini berpandangan bahawa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar, dan bahawa kesahan serta kesan Proklamasi tersebut hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, selaras dengan undang-undang, terutama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959 (UUTKNS 1959).

Jabatan ini telah memberi pandangan awal bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak-kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS, khususnya tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Walaupun jelas Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan supaya DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diturunkan takhta namun, Perkara 10 UUTKNS turut memperuntukkan tatacara dan asas-asas pertimbangan sebelum Dato’-Dato’ Undang boleh membuat keputusan sedemikian.

Setakat hari ini tiada fakta yang menunjukkan tatacara yang diperuntukkan tersebut telah dipatuhi. Berbangkit juga isu di mana ada di kalangan Dato’ Undang yang menandatangani Proklamasi tersebut tidak lagi memegang jawatan secara sah kerana telah diturunkan oleh adat di luak masing-masing.

Keabsahan beberapa Undang yang menandatangani Proklamasi tersebut adalah dipertikaikan kerana penurunan mereka telah dilakukan melalui adat di luak masing-masing. Oleh itu sebenarnya komposisi Undang Yang Empat adalah tidak lengkap pada masa yang material.

Jabatan ini menghormati kedudukan Dato’-Dato’ Undang Negeri Sembilan dan akur pelantikan dan penurunan setiap mereka adalah tertakluk kepada peraturan adat di luak masing-masing.

Dalam masa yang sama, Jabatan ini mengambil maklum UUTKNS 1959 turut memperuntukkan penubuhan Dewan Undangan dan Keadilan yang mana menurut Perkara 16 UUTKNS 1959, persoalan adat Melayu, termasuk pemilihan, perlantikan, perletakan dan pemecatan jawatan Undang serta apa-apa perkara yang dibawa oleh Yang Dipertuan Besar, terletak dalam bidang kuasa Dewan.

Menurut Perkara 16 (3) UUTKNS 1959, nasihat Dewan mengenai persoalan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Oleh yang demikian, kenyataan media atau pengumuman oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan tersebut adalah dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang memandangkan mereka tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman tersebut.

Juga, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk bersandar kepada Proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka.

Berdasarkan perkara-perkara di atas tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan Proklamasi tersebut adalah menjadi suatu tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan.

Selanjutnya Jabatan ini turut mengambil maklum bahawa perkara berkaitan ini juga sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan bahawa terdapat perintah mahkamah dalam bentuk interlocutory injunksi yang masih berkuat kuasa.

Justeru, Jabatan ini menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan membenarkan ia diselesaikan secara teratur.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here