Pelaburan AI SoftBank perkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau – PM

PELABURAN infrastruktur kecerdasan buatan (AI) oleh konsortium diterajui SoftBank di Sarawak dan Semenanjung Malaysia dijangka memperkukuh keupayaan teknologi negara, selain membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan pelabur global itu mencerminkan keyakinan terhadap potensi Malaysia, kestabilan politik serta persekitaran pelaburan negara.

Beliau berkata, pelaburan berkenaan turut menjadi pencapaian penting dalam agenda transformasi digital negara, selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai Negara AI menjelang 2030 menerusi Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.

“Saya mengalu-alukan pengumuman oleh konsortium yang diterajui SoftBank, termasuk Grab Holdings Ltd (Grab) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), untuk melabur dalam Platform Infrastruktur AI di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Kesediaan pelabur global seperti SoftBank dan Masayoshi Son untuk melabur di Malaysia mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan negara, iklim pelaburan dan kestabilan politik kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank, Masayoshi Son dilaporkan memilih Kuching, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai lokasi bagi pelaburan infrastruktur AI bernilai US$50 bilion (RM203 bilion).

Anwar berkata, gabungan modal dan kepakaran SoftBank dengan keupayaan AI serantau Grab, termasuk rekod penggunaan teknologi itu dalam ekosistem perniagaannya, berpotensi meningkatkan infrastruktur AI serta daya saing global Malaysia.

Pada masa sama, beliau menegaskan pembangunan infrastruktur digital berskala besar perlu dilaksanakan seiring komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan memenuhi keperluan ditetapkan kerajaan Persekutuan serta negeri, termasuk aspek penggunaan tenaga boleh baharu.

“Saya menjangkakan pelaburan ini mewujudkan peluang pekerjaan mahir untuk rakyat Malaysia dan membantu lebih ramai rakyat kita membina kepakaran dalam bidang AI.

“Ia juga seharusnya membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan ketika Malaysia membangunkan keupayaan AI,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri berkaitan bagi memudah cara pelaksanaan projek berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here