Ahmad Samsuri bayangkan PRU-16 dipercepat jika BN-PN kuasai Melaka

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan lebih awal sekiranya kerjasama politik antara gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) berjaya menumbangkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Beliau berpandangan, kemenangan BN-PN di Melaka berpotensi mencetuskan perkembangan politik baharu di peringkat nasional, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Naib Presiden Pas itu tidak memperincikan bentuk perkembangan politik yang dimaksudkannya, sebaliknya memberi bayangan bahawa pembubaran Parlimen sebelum tamat penggal bukan sesuatu yang mustahil.

“Saya tidak akan terkejut sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum tamat tempoh,” katanya menerusi audio siar Kekal Tenang, lapor FMT.

Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, jentera PN perlu mengambil serius kemungkinan tersebut dengan memastikan persiapan menghadapi PRU-16 dilakukan lebih awal.

Menurutnya, gabungan itu perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia kerana pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Siap sedia,” katanya.

PRU-16 dijangka berlangsung selewat-lewatnya pada awal 2028 sekiranya Parlimen tidak dibubarkan lebih awal, namun Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini meramalkan pilihan raya umum itu mungkin diadakan seawal Ogos tahun depan.

Dalam perkembangan berkaitan, BN dan PN menjalin kerjasama pada PRN Melaka kali ini dengan BN mempertaruhkan 23 calon, manakala PN bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut menyatakan kesediaan untuk menjemput PN menyertai kerajaan negeri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk pentadbiran selepas pilihan raya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut mengkritik pendekatan Anwar yang menggesa pengundi Melaka memilih calon yang mempunyai hubungan langsung dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi memudahkan urusan pembangunan dan penyelesaian masalah rakyat.

Beliau menyifatkan hujah sedemikian sebagai pendekatan politik lama yang tidak sepatutnya dijadikan ukuran utama dalam menentukan pilihan pengundi.

Katanya, hubungan rapat seseorang calon dengan Perdana Menteri juga tidak menjamin kelebihan berpanjangan, terutama apabila kedudukan kerajaan Persekutuan boleh berubah selepas PRU-16.

Malah, katanya, akses kepada Putrajaya tidak membawa makna besar sekiranya seseorang wakil rakyat gagal memainkan peranan dengan berkesan di peringkat negeri.

“Tidak perlu hujah sedemikian. Itu hujah zaman 1980-an,” katanya.

Sebaliknya, Ahmad Samsuri berpandangan pengundi perlu menilai kemampuan calon dari segi perancangan pentadbiran, keupayaan menyelesaikan masalah setempat serta komitmen mereka terhadap pembangunan Melaka.

Pada Khamis lalu, Anwar meminta pengundi memberikan sokongan kepada calon yang mempunyai talian terus ke PMO kerana hubungan itu dikatakan mampu membantu mempercepat penyelesaian isu rakyat dan membawa lebih banyak projek pembangunan ke kawasan masing-masing.

Beliau memberikan contoh dua calon PH, iaitu Datuk Azman Abidin yang bertanding di Paya Rumput dan Farzana Hayani Nasir di Kelebang.

Farzana pernah berkhidmat sebagai pegawai di PMO, manakala Azman merupakan Setiausaha Politik kepada Anwar yang juga Presiden PKR.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here