Pelaburan tidak wujud: Bekas pengetua rugi RM1.1 juta

BEKAS pengetua sebuah sekolah di Kuantan mengalami kerugian lebih RM1.1 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi media sosial.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa berusia 65 tahun membuat laporan polis semalam selepas menyedari  ditipu, susulan 22 transaksi kewangan yang dilakukan antara 21 Ogos hingga 7 Oktober lalu.

Transaksi berkenaan dilakukan secara dalam talian dan di kaunter beberapa bank di Pekan serta Kuantan.

Katanya, mangsa menggunakan wang simpanan, hasil penjualan tanah dan pinjaman untuk melabur dalam skim berkenaan.

“Pada 21 Jun lalu lelaki itu melihat iklan pelaburan melalui aplikasi TikTok menggunakan nama akaun Network 1 Agency Sdn Bhd. Mangsa kemudian berhubung dengan individu mendakwa sebagai ejen syarikat itu melalui aplikasi WhatsApp. Warga emas tersebut diberikan penerangan mengenai pelaburan serta analisis pasaran kewangan dan bersetuju menyertai skim ditawarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azry Akmar berkata, mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang ke enam akaun bank berbeza.

Menurutnya, selepas semua pelaburan dibuat, pesara itu diminta membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan yang tidak munasabah.

“Warga emas berkenaan tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan dan mengesyaki menjadi mangsa penipuan serta membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pekan, semalam,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here