Pelajar perempuan didakwa bunuh bayi baru lahir

SEORANG pelajar perempuan sebuah kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan pada minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Nurshazwen Mohd Idris, 19, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah rumah Taman Setia Mutiara di Kluang pada kira-kira jam 10 pagi, 29 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Aznan yang memaklumkan tiada tawaran jaminan diberikan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Pada Khamis, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dilaporkan berkata, seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun yang sebelum ini direman berhubung kes sama akan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.

Pada Rabu, pelajar lelaki terlibat disambung reman selama sehari selepas direman tujuh hari bermula 30 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pada 30 Julai lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, polis menahan pasangan kekasih yang juga pelajar kolej, masing-masing berumur 19 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada 1 tengah hari berhubung seorang pelajar dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) kerana melahirkan anak.

Ab Rahaman berkata, berdasarkan siasatan, bayi itu dijumpai oleh tenaga pengajar kolej berkenaan dan hasil pemeriksaan lanjut di HEBHK mendapati, terdapat seorang lagi bayi (kembar) dalam kandungan pelajar perempuan berkenaan yang kemudiannya selamat dilahirkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img