KERAJAAN menangguhkan sementara rancangan untuk melaksanakan cukai karbon susulan konflik di Asia Barat ketika ini bagi mengelakkan beban tambahan kepada rakyat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, meskipun perancangan asal adalah untuk melaksanakan cukai karbon tahun ini, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembentukan rangka kerja bagi mengumpul kredit karbon.
“Kerajaan berhasrat melaksanakan cukai karbon, namun kita perlu mengambil kira masa yang sesuai. Pengumuman mengenai cukai karbon dalam Belanjawan 2026 dibuat sebelum konflik Asia Barat.
“Sebagai kerajaan, kita perlu berpijak pada realiti dan mengambil kira keadaan geopolitik semasa agar tidak membebankan industri serta rakyat.
“Kita mungkin akan mengkaji semula cukai karbon, namun perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MoF), manakala NRES (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) menyediakan rangka kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) sempena majlis pembukaan Persidangan Perubahan Iklim dan Kelestarian 2026 di Petaling Jaya hari ini.
Arthur Joseph berkata, kerajaan kini akan memberi tumpuan kepada pengesahan kredit karbon.
Katanya, kerajaan perlu memastikan kredit karbon dapat disahkan sebelum memperkenalkan akta bagi memastikan pematuhan oleh industri, selain menubuhkan Daftar Karbon untuk mengumpul data.
Langkah itu bagi membolehkan pengukuran, penetapan harga dan perdagangan karbon di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan industri agar tidak menjadikan penangguhan cukai tersebut sebagai alasan untuk memperlahankan agenda hijau negara.
“Walau apa pun, kita tetap perlu bergerak ke arah ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui kerana bahan api fosil adalah sumber terhad.
“Sama ada berlaku krisis tenaga atau tidak, janganlah kita leka dan terlalu bergantung kepada bahan api fosil,” katanya.


