SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan mengorbankan sepasang suami isteri.
Shaun Lau Wee Hong, 28, seorang pekebun durian, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.
Mengikut pertuduhan, Wee Hong didakwa memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di bawah pengaruh alkohol serta menyebabkan kematian R Mathialagan, 35, dan isterinya, S Sathiasivam, 33.
Kesalahan didakwa dilakukan jam 12.55 tengah malam di Kilometer 134, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di Temerloh pada 14 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun serta denda hingga RM100,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan 7 April depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri rentung selepas kereta Proton Preve dinaiki terbakar selepas dirempuh sebuah SUV mewah jenis Porsche Cayenne, awal pagi Sabtu lalu.
Nahas dilaporkan berlaku setelah SUV itu hilang kawalan dan merempuh kereta dinaiki suami isteri terbabit.


