MAHKAMAH Jenayah di Bangkok hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap Sararat Rangsiwuthaporn, 39, atau lebih dikenali sebagai Aem Cyanide, selepas didapati bersalah membunuh seorang pemiutang dengan meracun mangsa menggunakan sianida di wilayah Phetchaburi pada Ogos 2022.
Mahkamah mendapati Sararat bersalah membunuh Chantararat Wongkraisin, 43, dengan niat terlebih dahulu.
Menurut penghakiman, Sararat memasukkan sianida ke dalam makanan atau minuman Chantararat ketika mereka berada di sebuah gerai makanan di sebuah stesen minyak di daerah Cha-am, Phetchaburi, pada 15 Ogos 2022.
Suami mangsa kemudian menemui Chantararat dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah mereka yang terletak berhampiran sebelum membawanya ke Hospital Cha-am. Mangsa bagaimanapun meninggal dunia.
Sebelum kejadian, Sararat meminjam lebih 90,000 baht (RM11,069) daripada Chantararat.
Mahkamah bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa pembunuhan itu dilakukan bagi melupuskan hutang berkenaan.
Mahkamah turut mengarahkan Sararat membayar kira-kira 60,000 baht (RM7,379) berserta faedah kepada suami mangsa. Ini merupakan hukuman mati kelima yang dijatuhkan terhadap Sararat, yang didapati menggunakan sianida untuk meracuni pemiutang dan kenalannya.
Daripada lima hukuman mati itu, dua telah diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup, manakala Sararat setakat ini dibebaskan daripada tiga lagi pertuduhan membunuh.
Sararat didakwa atas 75 pertuduhan, termasuk pembunuhan terancang, meracuni makanan serta memalsukan dokumen, lapor Bangkok Post.
Kegiatan pembunuhan yang dipercayai dilakukannya selama lapan tahun terbongkar pada pertengahan April 2023 selepas keluarga salah seorang mangsa yang disyaki, Siriporn Khanwong, 32, meminta Bahagian Siasatan Jenayah (CSD) mengambil tindakan terhadap Sararat serta menjalankan bedah siasat semula terhadap mayat Siriporn.
Siriporn rebah dan kemudian meninggal dunia ketika melepaskan ikan ke sungai sebagai amalan kebajikan sempena sambutan Songkran di daerah Ban Pong, Ratchaburi. Bedah siasat pertama menyimpulkan Siriporn meninggal dunia atas sebab semula jadi. Namun, keluarganya mempersoalkan keputusan itu dan meminta bedah siasat kedua dijalankan.
Keputusan awal Jabatan Forensik Hospital Polis Diraja Thailand kemudian mendapati terdapat sianida dalam darah Siriporn. Sararat menjadi suspek utama selepas siasatan mendapati dia merupakan individu terakhir yang dilihat bersama Siriporn.
Jumlah mangsa yang dikaitkan dengan Sararat kemudian meningkat apabila siasatan diperluaskan.Polis mendapati 14 kematian mempunyai kaitan dengan Sararat, manakala seorang lagi mangsa terselamat daripada cubaan meracun.
Kegiatan pembunuhan Sararat dipercayai berlaku antara 2015 hingga 2023, membabitkan lapan wilayah di Thailand. Motifnya dipercayai adalah untuk mendapatkan wang daripada mangsa atau melupuskan hutang yang perlu dibayarnya kepada mereka.
Menurut polis, Sararat juga merupakan seorang kaki judi dalam talian. Dia dipercayai mencampurkan sianida ke dalam makanan dan minuman mangsa sehingga menyebabkan mereka meninggal dunia, yang pada awalnya disangka mengalami serangan jantung.
Dalam satu kes di Mukdahan pada 2020, Sararat menghantar apa yang didakwa sebagai pil diet kepada mangsanya. Selepas meracuni mangsa, Sararat turut mengambil barangan berharga termasuk telefon bimbit bagi menghapuskan bukti. Dia juga didakwa memalsukan dokumen untuk mendapatkan wang daripada keluarga mangsa.





