KEGANASAN pemberontakan di tiga wilayah sempadan selatan Thailand kembali memuncak pada malam Sabtu selepas beberapa lokasi dilaporkan menjadi sasaran serangan bom dan pembakaran.
Sebanyak 25 insiden dilaporkan berlaku di tiga wilayah, melibatkan 13 daerah dan 16 mukim, sekali gus mendorong pihak berkuasa keselamatan memperketatkan kawalan dengan segera.
Susulan kejadian itu, Komander Pasukan Petugas Narathiwat, Mejar Jeneral Yodawut Phuengphak, mengeluarkan arahan segera mengenakan perintah berkurung di seluruh wilayah Narathiwat mengikut Akta Undang-Undang Tentera 1914.
Arahan itu dikeluarkan selepas beberapa kawasan di Narathiwat dilanda keganasan berkaitan pemberontakan dan serangan bom semalam.
Menurut arahan berkenaan, anggota tentera, polis dan pegawai awam dikerahkan bagi melindungi keselamatan orang awam serta harta benda.
Wilayah Tentera Keempat dan Pasukan Petugas Narathiwat menggunakan kuasa di bawah Akta Undang-Undang Tentera 1914 untuk melarang orang ramai keluar dari kediaman masing-masing di seluruh Narathiwat.
Perintah berkurung berkuat kuasa mulai 10.15 malam Sabtu hingga 6 pagi Ahad (23 Ogos 2026).
Mereka yang mempunyai keperluan mendesak untuk keluar rumah diwajibkan mendapatkan kebenaran daripada anggota tentera, polis, penghulu mukim, ketua kampung atau pegawai pentadbiran tempatan.
Anggota tentera turut diberi kuasa menjalankan operasi taktikal bagi memulihkan dan mengekalkan ketenteraman awam, termasuk melakukan pemeriksaan serta melarang aktiviti tertentu.
Pegawai awam pula diarahkan memberi kerjasama kepada pihak tentera dalam operasi keselamatan, tindakan penguatkuasaan dan usaha mengekalkan ketenteraman awam.
Orang ramai diminta mematuhi arahan serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan operasi keselamatan berjalan lancar.

Sementara itu, satu rakaman video orang awam di Pattani menunjukkan satu lagi kejadian membimbangkan apabila kira-kira tiga atau empat lelaki bersenjata menyerbu sebuah cawangan 7-Eleven di Bang Pu, daerah Yaring.
Dalam rakaman itu, kumpulan terbabit dilihat mengambil kedudukan di hadapan premis sebelum mengarahkan pelanggan dan pekerja keluar.
Seorang lelaki berpakaian baju lengan panjang dan seluar berwarna putih dilihat membawa senjata api sambil menjerit berulang kali supaya semua orang meninggalkan premis.
Seorang atau dua lagi suspek berpakaian hitam serta memakai penutup kepala, manakala sebahagian daripada mereka dipercayai membawa senjata laras panjang dan mengawal kawasan sekitar.
Pelanggan dan pekerja kemudian melarikan diri dalam keadaan panik.
Lelaki berpakaian putih itu kemudiannya melepaskan satu das tembakan ke udara, diikuti kira-kira tiga atau empat das lagi, dipercayai bagi menakutkan orang awam dan menghalang mereka daripada mendekati premis.
Selepas memastikan kawasan tersebut dikosongkan, kumpulan berkenaan kembali ke motosikal yang telah disediakan sebelum membakar premis berkenaan.
Cawangan 7-Eleven Bang Pu dilaporkan mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran.
Kejadian yang berlaku hampir serentak di beberapa lokasi menyebabkan pasukan keselamatan memperketatkan kawalan di kawasan terjejas serta melancarkan operasi memburu individu yang bertanggungjawab.
Pihak berkuasa menyifatkan perintah berkurung di Narathiwat sebagai langkah kecemasan bagi mengawal keadaan, mencegah serangan susulan dan meningkatkan keberkesanan operasi keselamatan.





