Pemimpin-pemimpin UMNO hari ini melahirkan kesedihan mendalam berikutan kembalinya Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin ke Rahmatullah pada pukul 1.46 pagi ini.
Sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar bukan sahaja kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO tetapi juga kepada Sabah dan negara.
Berikut catatan beberapa pemimpin melalui Facebook masing-masing.
‘’Saya hilang sahabat sejati’’ – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi
‘’Ya Allah… Luluh hati saya saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi Jumaat yang penuh kemuliaan ini.
Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat sejati yang begitu dekat di hati, seorang rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan seorang insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah.
Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini.
“𝑌𝑎 𝐴𝑙𝑙𝑎ℎ, 𝑎𝑚𝑝𝑢𝑛𝑘𝑎𝑛𝑙𝑎ℎ 𝑑𝑜𝑠𝑎𝑛𝑦𝑎, 𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎𝑙𝑎ℎ 𝑠𝑒𝑔𝑎𝑙𝑎 𝑎𝑚𝑎𝑙 𝑏𝑎𝑘𝑡𝑖𝑛𝑦𝑎, 𝑎𝑛𝑔𝑘𝑎𝑡𝑙𝑎ℎ 𝑑𝑎𝑟𝑗𝑎𝑡 𝑘𝑒𝑏𝑎𝑖𝑘𝑎𝑛𝑛𝑦𝑎, 𝑑𝑎𝑛 𝑘𝑢𝑟𝑛𝑖𝑎𝑘𝑎𝑛𝑙𝑎ℎ 𝑢𝑛𝑡𝑢𝑘𝑛𝑦𝑎𝑛𝑖𝑘𝑚𝑎𝑡 𝑠𝑦𝑢𝑟𝑔𝑎-𝑀𝑢 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑎𝑏𝑎𝑑𝑖…”
Kami di seluruh saf kepimpinan UMNO, Barisan Nasional dan seluruh rakyat khususnya di Negeri Sabah berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan, dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Mu yang beriman serta beramal soleh.
Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga kalian semua dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini.

Pergi seorang pemimpin, sahabat, figura – Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir
Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.
Perginya seorang sahabat seperjuangan, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar bin Radin, yang telah kembali ke rahmatullah pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).
Allahyarham adalah seorang pemimpin, sahabat, dan figura yang sentiasa teguh mempertahankan prinsip serta sentiasa berada di dalam saf perjuangan termasuklah dalam detik-detik akhir beliau pada PRN Sabah baru-baru ini. Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan kepada rakyat, negeri Sabah dan negara.
Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian ini. Didoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin serta orang-orang yang beriman.

Saya kehilangan seorang teman dan pemimpin – Abdul Rahman Dahlan
Dalam hati kami, kamu masih hero kami… Alfatihah kepada seorang pejuang.
(In our hearts, you are still a hero to us… Alfatihah to a fighter). Salam takziah kepada keluarga Allahyarham YB Datuk Seri Panglima Bung Mokhtar Radin.
Ya Allah, tidak ada kata-kata yang boleh menghilangkan rasa sedih mendengar berita ini. Saya kehilangan seorang teman dan pemimpin. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas roh Allahyarham.


