‘’Peminjam wajib bayar kembali pinjaman…ini duit rakyat’’ – Asyraf Wajdi

PENGERUSI Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, Mara sama sekali tidak akan berkompromi dengan peminjam yang culas.

Katanya, sejak memegang jawatan itu langkah mengejar peminjam culas sampai ke peringkat mahkamah adalah antara keutamaan dalam memastikan setiap sen wang rakyat dikembalikan dan boleh dimanfaatkan semula untuk keperluan orang lain.

‘’Arahan Majlis Mara kepada pihak pengurusan amat jelas, jangan dilayani surat-surat mohon pengecualian hatta daripada pihak-pihak berpengaruh walau setinggi mana kedudukan mereka.

‘’Ini bukan hak kita untuk berkompromi atau memaafkan peminjam culas kerana setiap sen yang disalurkan sebagai pinjaman merupakan wang amanah rakyat,’’ katanya melalui Faceboo beliau.

Kenyataan itu dibuat berikutan ada pihak mempertikaikan tindakan Mara membawa peminjam yang gagal melunaskan ke mahkamah.

Semalam, Mahkamah Tinggi Sungai Petani menolak rayuan seorang wanita dan tiga penjaminnya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membayar balik pinjaman pelajaran RM857,000 kepada Mara.

Wanita berkenaan menerima pinjaman pertama Mara pada 2011 untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Manchester, dan pinjaman kedua pada 2013 bagi program PhD di Universiti Cambridge.

Mahkamah mengekalkan terma surat tawaran dan perjanjian pinjaman Mara 2013, yang memerlukan wanita itu menamatkan pengajian PhD dalam tempoh empat tahun.

Dalam kenyataannya juga, Asyraf Wajdi berkata, antara program Transformasi Mara yang diperkenalkan termasuklah aspek transformasi disiplin kewangan Mara bagi memastikan wang rakyat tidak sewenangnya dipersia-siakan atau tiris akibat daripada kecelaruan dalam memahami amanah dan mandat rakyat.

‘’Ada yang pertikai Mara bawa isu peminjam culas ke mahkamah. Kalau namanya pinjaman bermakna wajib bayar. Mara tidak akan sesekali berkompromi dengan peminjam yang sengaja culas. Ini bukan duit peribadi tapi duit rakyat,’’ tegasnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img