Pemuda Pas Selangor desak kerajaan negeri haramkan vape serta-merta

Oleh : Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

DEWAN  Pemuda Pas Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) melaksanakan Program Zero Vape Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025 di SMK Bandar Utama Damansara (2) baru-baru ini.

Komitmen JPN Selangor ini seharusnya dipuji kerana usaha ini bukan sahaja memperkukuh nilai kesihatan, disiplin serta akhlak murid agar tidak terjebak dalam ketagihan vape, bahkan ia juga selari dengan tuntutan Islam untuk menjaga akal dan nyawa (maqasid syariah) serta membina generasi berilmu dan bermaruah.

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

Berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) sehingga Disember 2024, seramai 19,450 murid dikesan menggunakan vape. Bahkan, sudah ada laporan penyakit paru-paru “E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury” (EVALI) yang dikaitkan dengan penggunaan vape di Malaysia.

EVALI boleh menyebabkan kerosakan paru-paru kekal malah membawa maut. Setakat ini, rawatan EVALI menelan kos RM150,892.11 bagi setiap pesakit selama 12 hari di hospital.

Biarpun Kementerian Kesihatan Malaysia telah pun menyatakan iltizam untuk mengharamkan vape dan rokok elektronik seawal tahun hadapan, namun kerajaan negeri seperti Kelantan sejak 2015 lagi tidak membenarkan penjualan vape di negeri Serambi Mekah tersebut.

Malah, Terengganu, Perlis, Kedah dan beberapa negeri lain turut memberi komitmen untuk menguatkuasakan larangan di negeri masing-masing tahun ini juga. Hairan, mengapa Selangor agak terkebelakang dan ragu-ragu untuk mengharamkan produk yang terang-terangan memberi ancaman kepada masa hadapan generasi muda? Menteri Besar sudah menyatakan hasrat, tetapi tiada tekad yang jelas.

Menurut laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, prevalens Pengguna Rokok Elektronik / Vape (Current E-Cig/Vape Users) di Selangor adalah 9%. Data ini menunjukkan pengguna vape begitu ramai di Selangor.

Walaupun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober, namun urusan jual beli tetap berlaku.

Berdasarkan Akta 852, produk tembakau dan vape mesti disimpan di dalam kabinet tertutup dan tidak boleh dipamerkan di kaunter atau rak terbuka. Namun, akta ini tidak melarang penjualannya, malah berdasarkan pemerhatian rawak, penurunan jualan vape tidak begitu ketara.

Maka, Dewan Pemuda Pas Selangor mendesak Kerajaan Negeri Selangor agar mengharamkan penjualan vape ini serta-merta. Pihak Berkuasa Tempatan perlu mengambil tindakan masing-masing dengan tidak menyambung lesen kebenaran premis menjual vape apabila sudah tamat tempoh. Jika bukan sekarang, bila lagi?

  • Muhammad Faizzuddin Mohd Zai adalah Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Selangor

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img