SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi bersifat jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman sosial Facebook.
Muhammad Zubair Ismail, 44, yang berasal dari Alor Setar, Kedah, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu melalui platform media sosial berkenaan pada 12 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh yang hadir sebagai Orang Kena Saman (OKS) diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 November depan untuk sebutan semula kes.





