Bekas ketua pengarang berita antara tiga individu didakwa muat naik komen palsu

SEORANG bekas ketua pengarang berita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan memuat naik komen palsu termasuk berkaitan penyeludupan diesel, menerusi akaun Facebook pada April lalu.

Tertuduh, Mohd Khaidir Ahmad, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, Mohd Khaidir didakwa menggunakan akaun Facebook Khaidir Ahmad secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komen yang palsu sifatnya.

Antara kandungan dimuat naik adalah berkaitan dakwaan maklumat palsu dakwaan penyeludupan 52 juta liter diesel.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 12 April 2026 dan kandungan berkenaan dilihat sehari kemudian iaitu pada 13 April 2026 pada jam 7 malam di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact Cyber 6, Cyberjaya dalam daerah Sepang, Selangor.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Siti Hajar Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pertuduhan juga dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Ogos depan.

Dalam prosiding sama, seorang pemandu e-hailing mengaku bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya di akaun media sosial miliknya, Mac lalu.

Romy Irwan Shah, 45, selaku orang kena saman (OKS) didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menganggu mana-mana orang melalui aplikasi Threads menerusi akaun `@iamromyirwanshah9977’, pada jam 7.57 malam pada 28 Mac 2026.

Pertuduhan juga dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman RM 4,000 dan penjara enam bulan jika tidak membayar denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela membayar denda tersebut.

Sementara itu, di mahkamah dan hadapan hakim yang sama, seorang wanita mengaku bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya di akaun media sosial miliknya pada April lalu.

Chong Kwai Fee, 55, selaku OKS didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menganggu mana-mana orang di akaun Facebook peribadinya, pada jam 10 pagi pada 13 April 2026.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa MCMC, Nurul Nazilah Mohd Hasyim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pertuduhan juga dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman RM4,000 dan penjara enam bulan jika tidak membayar denda. Tertuduh dilaporkan membayar denda tersebut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img