Penjaga gol Nantes `cedera’ beri ruang pemain Islam berbuka puasa

PENJAGA gol kelab Liga Perancis Nantes, Anthony Lopes mencuri perhatian apabila dilihat berpura-pura cedera bagi membolehkan rakan sepasukannya yang beragama Islam berbuka puasa ketika aksi Ligue 1 menentang Le Havre, Ahad lalu.

Dalam perlawanan yang menyaksikan Nantes menang 2-0 itu, Lopes tiba-tiba terjatuh tanpa dicabar ketika bola keluar berhampiran garisan tengah padang.

Mengikut peraturan, pemain padang yang mengalami kecederaan dan menerima rawatan perlu keluar bagi membolehkan perlawanan diteruskan. Namun peraturan itu tidak terpakai kepada penjaga gol.

Ketika Lopes menerima rawatan, lima rakan sepasukan terus menuju ke tepi padang untuk mengambil minuman dan makanan bagi berbuka puasa.

Selepas rawatan selesai, bekas penjaga gol antarabangsa Portugal itu bangun perlahan-perlahan, sekali gus memberi sedikit masa tambahan sebelum permainan disambung semula.

Kemenangan itu amat penting buat Nantes yang kini berada di tangga ke-17 liga 18 pasukan.

Mereka berkongsi mata dengan Auxerre di tangga ke-16 namun berada dalam zon penyingkiran kerana perbezaan jaringan lebih rendah dua gol. Dua pasukan tercorot akan diturunkan ke divisyen lebih rendah.

Di Perancis, badan bola sepak tidak membenarkan permainan dihentikan atas alasan keagamaan, termasuk bagi tujuan berbuka puasa di bulan Ramadan.

Berbeza dengan Perancis, Liga Perdana Inggeris pada tahun 2021 sudah mencapai persetujuan membenarkan pemain beragama Islam berbuka puasa sebaik matahari terbenam ketika perlawanan berlangsung.

Pendekatan sama kemudian diikuti Bundesliga setahun kemudian. Kelab-kelab juga menyesuaikan jadual latihan sepanjang Ramadan.

Bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, pernah mengubah sesi latihan kepada sebelah pagi bagi memudahkan pemain yang berpuasa.

Bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane, sebelum ini mengakui berpuasa ketika hari perlawanan bukan tugas mudah, namun sokongan kelab membantu pemain menjalani tuntutan agama dengan lebih lancar.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img