BERKUAT kuasa serta merta, kakitangan awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel atas faktor keselamatan siber dan data pergerakan.
Arahan berhubung larangan berkenaan dikeluarkan menerusi pemakluman rasmi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Oktober (semalam) itu meneliti perkembangan ancaman siber serta langkah memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.

“Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang bersidang pada 20 Oktober 2026 memutuskan berhubung dengan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam,” menurut pemakluman tersebut.
Menerusi arahan itu, semua Ketua Setiausaha kementerian dan Ketua Jabatan diminta memastikan keputusan berkenaan dimaklumkan dengan kadar segera kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk di peringkat agensi dan jabatan berkaitan.
Sebarang keperluan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan arahan terbabit boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara selaku agensi penyelaras.
Perdana Menteri semalam memaklumkan kerajaan menggalakkan orang ramai beralih kepada aplikasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif navigasi jalan raya.
Menurut beliau, langkah berkenaan dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat serta data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi yang terikat di bawah undang-undang negara luar.





