POLIS menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan merampas lapan rangka motosikal dipercayai berkaitan kegiatan curi motosikal serta komponen kenderaan itu di sekitar Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata, suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di tepi Jalan Sungai Jelok, Kajang, Selangor, kira-kira jam 12 tengah hari pada 16 Oktober lalu.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati lelaki tempatan itu mempunyai 13 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan.
“Polis turut merampas lapan rangka motosikal dalam keadaan tidak sempurna, membabitkan model Yamaha 135LC, Yamaha Y15 dan Honda EX5, selain dua set lengkap panel badan motosikal Yamaha 135LC.
“Nombor casis pada rangka dan motosikal berkenaan didapati telah dipotong atau diganggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kesemua rampasan dipercayai mempunyai kaitan dengan 10 laporan polis berhubung kes kecurian motosikal di kawasan pentadbiran IPD Sentul, dengan anggaran kerugian kira-kira RM35,000.
Rampasan itu dibuat di tiga lokasi, iaitu kawasan Tasik Intan Baiduri, tepi Dewan Komuniti Intan Baiduri dan kawasan semak di Jalan 6/42A, Taman Kok Doh, Jinjang.
Polis memaklumkan kegiatan itu dipercayai dilakukan suspek bersama rakan sejenayah lain, dengan komponen motosikal dileraikan untuk dijual manakala motosikal dibuang bagi menghapuskan bukti.
Suspek direman sehingga 21 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dan rakan sejenayahnya dalam kes lain serta mengesan komponen motosikal curi yang telah dijual.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Hotline IPK Kuala Lumpur di talian 03-2115 999 atau IPD Sentul di talian 03-4048 2222, atau menghubungi balai polis berhampiran.





