SEORANG pemandu bas ekspres yang tular memandu dalam keadaan khayal dan disahkan positif syabu dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan serta denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini.
Tertuduh, Mohd Tamrin Ibrahim, 53, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu bas secara berbahaya sehingga membahayakan orang awam di KM196.1 (S), Lebuhraya PLUS berhampiran Persimpangan Ayer Keroh, kira-kira jam 3.50 pagi pada 15 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh sabitan serta denda RM8,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar.
Selain itu, dia juga hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Terdahulu, peguam Kamariah Md Yusof memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mengaku bersalah, tidak bekerja serta menanggung ahli keluarga selain menghidap asma.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman lebih berat kerana perbuatan tertuduh membahayakan nyawa 15 penumpang dalam bas berkenaan.
Kes itu sebelum ini tular menerusi video memaparkan tertuduh memandu dalam keadaan seperti ‘lalok’, menyandar ke belakang dan hanya memegang stereng dengan sebelah tangan ketika perjalanan dari Ipoh ke Johor Bahru.


