Pensyarah rugi RM97,400 selepas diperdaya terlibat pengubahan wang haram

SEORANG pensyarah lelaki kerugian sejumlah RM97,400 sebaik sahaja menyerahkan maklumat bank bagi tujuan siasatan selepas didakwa terlibat dalam kes penggubahan wang haram.

Mangsa mendakwa, berikutan kesilapannya itu, wang simpanannya telah dipindahkan melalui dua transaksi ke akaun tidak dikenali pada 7 dan 8 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa menyedari menjadi mangsa penipuan ‘phone scam’ selepas membuat semakan lanjut dengan pihak berkuasa sebelum tampil membuat laporan polis.

“Kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa menerima panggilan daripada dua individu memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat insurans dan pegawai polis pada 28 Mac lalu.

“Mangsa diperdaya sindiket penipuan itu kononnya tersenarai sebagai individu dikehendaki berkait kes penggubahan wang haram,” katanya.

Menurut Ashari, mangsa telah diarah menyerahkan maklumat perbankan bagi tujuan siasatan.

“Bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa akur dengan arahan tersebut apabila menyerahkan maklumat perbankannya kepada suspek sebelum menyedari wang simpanannya telah dipindahkan tanpa disedari ke akaun bank tidak dikenali.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap sebarang panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank, polis atau agensi kerajaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img